WARGA emas cedera dipukul seorang lelaki selepas berselisih faham. FOTO Ihsan PDRM.
WARGA emas cedera dipukul seorang lelaki selepas berselisih faham. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Hanya kerana selisih faham berkaitan pemanduan di jalan raya ketika hendak masuk ke simpang, seorang lelaki tergamak memukul pemandu warga emas dengan batang golf, parang dan besi pengunci kereta di Kampung Pandan Dalam, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan Mers 999 daripada orang awam mengenai pergaduhan itu pada 2.24 petang.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pergaduhan membabitkan dua lelaki tempatan iaitu mangsa berusia 60 tahun dengan suspek berusia 39 tahun.

"Kejadian berlaku ketika mangsa dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta, dan berlaku selisih faham dengan suspek yang menaiki motosikal.

"Akibat kejadian berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek dengan menggunakan senjata batang golf, parang dan sebatang besi pengunci kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa patah tangan kanan, luka di tangan kiri dan kanan serta pendarahan di dalam otak manakala suspek mengalami kecederaan di kepala.

"Mangsa dan suspek mendapat rawatan di Hospital Ampang.

"Punca kejadian dipercayai akibat salah faham dalam penggunaan jalan raya di antara mangsa dan suspek," katanya.

Susulan itu, katanya, suspek yang berniaga di kawasan Ampang ditahan pada 6.20 petang kelmarin dan merampas pakaian serta sebatang besi yang digunakan ketika kejadian.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah syabu dan benzo.

"Suspek mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dadah dan suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 10 November ini," katanya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:08 PM