GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Polis menahan penjual minuman yang disyaki terbabit dalam kejadian ugutan mahu menggelar leher seorang wanita di sebuah stesen minyak di Taman Melawati, di sini.

Lelaki berusia 48 tahun itu diberkas pada jam 1.30 petang semalam, di Taman Melawati, Ampang, selepas dilaporkan mengugut seorang lelaki dan ibu angkatnya dengan pisau lipat dan parang, Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berkenaan dipercayai akibat perselisihan faham penjualan air jagung antara suspek dan pengadu yang diugut.

"Suspek dilaporkan keluar dari kereta dan mengacukan pisau lipat ke arah pengadu seorang lelaki berusia 22 tahun dan ibu angkatnya semasa mereka pergi ke Shell, di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Taman Melawati.

"Semasa kejadian juga suspek turut mengambil parang dan mengacukan senjata berkenaan ke arah kedua-dua mangsa dan mengugut mahu menggelar leher ibu angkat pegadu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan kejadian berkenan pihak polis kemudiannya mengesan pengadu sebelum menahannya selain merampas senjata parang yang digunakan semasa kejadian.

"Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan ketakutan jenayah dan berhadapan hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

"Suspek juga kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:45 PM