GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Hanya kerana enggan membayar kos membaiki kerosakan kereta milik rakan lelakinya, seorang lelaki tergamak memukul dan menoreh muka mangsa di padang bola jaring, di sini.

Bagaimanapun tindakan suspek lelaki berusia 24 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan di Semenyih, Kajang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada 6 petang 10 Ogos lalu apabila lelaki berusia 24 tahun dihubungi teman wanita suspek memberitahu suspek mahu bertemu di padang bola jaring itu untuk berbincang mengenai masalah kereta mangsa mengalami kemalangan.

Menurutnya, tiba di sana mangsa dan suspek berbincang namun suspek mengatakan tidak boleh membayar ganti rugi itu dan mengajak bergaduh.

"Secara tiba-tiba suspek terus cuba menumbuk dan menoreh muka mangsa dengan menggunakan pisau kecil.

"Susulan itu, pada 2 pagi tadi, sepasukan polis membuat serbuan di Semenyih, Kajang,dan menahan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek menyatakan pisau lipat yang digunakan ketika kejadian dibuang di sekitar kawasan tempat kejadian ketika melarikan diri.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

"Ujian awal saringan air kencing mandapati suspek disyaki positif dadah jenis THC," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian adalah disebabkan selisih faham dan meninggi suara antara mangsa dan suspek serta suspek enggan membayar kos baiki kereta.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 12:42 PM