Polis merampas senjata besi dan kayu digunakan seorang lelaki yang mengamuk di sebuah restoran di Taman Medan Bukit Permai, Ampang Jaya, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Polis merampas senjata besi dan kayu digunakan seorang lelaki yang mengamuk di sebuah restoran di Taman Medan Bukit Permai, Ampang Jaya, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Lelaki bersenjata besi dan kayu mengamuk serta mengetuk meja sebuah restoran, kereta peronda polis dalam kejadian di Taman Medan Bukit Permai di sini, semalam.

Lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai berhalusinasi kerana dadah itu turut mengugut mahu mencederakan tukang masak restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pekerja warga asing berusia 33 tahun pada 4.15 petang.

"Suspek dikatakan masuk ke dalam restoran dengan membawa sebatang besi dan kayu lalu mengetuk semua meja.

"Lelaki itu turut memanggil pengadu dan memintanya diam jika tidak mahu dicederakan dengan besi yang dibawa," katanya dalam kenyataannya pada hari ini.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan segera ke lokasi untuk menahan suspek.

Bagaimanapun, katanya, semasa proses tangkapan itu berlaku pergelutan dan suspek turut bertindak mengetuk bahagian bonet hadapan kereta peronda polis menggunakan kayu.

"Suspek kini direman empat hari hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut. Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah kekerasan.

"Punca suspek bertindak demikian kerana halusinasi dipercayai akibat dadah dan saringan awal air kencing terhadapnya juga didapati positif methamphetamine," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan ugutan jenayah, Seksyen 427 KK (khianat), Seksyen 186 KK (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:45 PM