POLIS merampas beg mengandungi parang yang dibawa suspek ketika cuba mencuri kereta mangsa. FOTO Ihsan PDRM.
POLIS merampas beg mengandungi parang yang dibawa suspek ketika cuba mencuri kereta mangsa. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Cubaan seorang lelaki melarikan Perodua Myvi milik pemandu e-hailing berdekatan Masjid Kampung Melayu Ampang, di sini mengundang padah apabila ditahan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada 2.22 petang ketika pemandu kereta itu yang berusia 31 tahun meletakkan kereta di tepi jalan dan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan bersama abangnya.

Katanya, tidak lama kemudian, abang mangsa melihat suspek berusia 40 tahun berada di dalam kereta dan cuba memandu keluar dari parkir terbabit.

"Mangsa terus berlari dan menahan suspek bersama abangnya. Polis hadir di tempat kejadian dan membuat tangkapan semula.

"Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui parang panjang bersarung di dalam begnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammed Farouk berkata, suspek tidak bekerja dan ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

"Semakan dibuat turut mendapati dia tiada rekod jenayah lampau. Suspek direman sehingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379A/ 511 Kanun Keseksaan iaitu percubaan mencuri kenderaan," katanya.

Menurutnya, lelaki itu juga disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 selain Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 5:42 PM