FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Hanya kerana enggan berbuka puasa bersama bapa mentua menyebabkan seorang wanita ditendang di belakang badan dan diugut tikam dengan pisau di kediaman mereka di Taman Pandan Ria, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa berusia 25 tahun dan suaminya berusia 28 tahun selepas selisih faham berbuka puasa dengan keluarga lelaki itu.

Menurut sumber, akibatnya suspek yang tidak berpuas hati bertindak menendang belakang isterinya beberapa kali.

"Selepas beberapa minit bertengkar keadaan kembali reda apabila mangsa hanya mendiamkan diri.

"Bagaimanapun pada jam 4.30 pagi kelmarin suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil pisau potong sayur di dapur dan cuba menikam mangsa," katanya.

Sumber berkata, mujur adik suspek sempat menghalang dan mangsa terus melarikan diri keluar dari rumah.

Katanya, bimbang dengan keselamatan diri mangsa terus menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:19 PM