FATIN Nabihah aktif sebagai streamer permainan video sejak 2017. Foto Ihsan FATIN NABIHAH JOHARI
FATIN Nabihah aktif sebagai streamer permainan video sejak 2017. Foto Ihsan FATIN NABIHAH JOHARI
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Fatin Nabihah Johari bukan pemain permainan video profesional, namun kerjaya sebagai pengurus laman sosial di sebuah syarikat membuatkannya terjebak dengan dunia penstriman.

Bermula sekadar suka-suka, Fatin Nabihah, 28, akhirnya jatuh cinta dengan permainan video dan kini menjadi antara pempengaruh dikenali di Tik Tok dengan hampir 45,00 pengikut.

Lebih menarik, pendapatan bulanannya juga mencecah hampir empat angka walaupun masih baru berjinak dalam dunia penstriman.

"Dulu saya tidak tahu langsung mengenai permainan video, tetapi kini terjebak kerana kerja. Sejak itu, saya ambil tahu dan belajar mengenainya.

"Alhamdulillah, ada rezeki saya untuk menjana pendapatan sampingan dengannya walaupun dikecam juga pada awalnya dulu kerana tidak 'pro' dalam permainan video," katanya.

Menurut Fatin Nabihah, pendapatan yang diterima tidak menentu, namun sedikit sebanyak dapat membantunya untuk menambah duit poket.

"Sekali penstriman, saya dapat coin yang boleh ditukarkan kepada duit. Lebih kerap dan lama saya melakukan penstriman, lebih banyak saya boleh dapat.

"Boleh jadi saya akan dapat lebih RM500 dan ke atas, semuanya bergantung kepada kerajinan.

"Seronok juga kerana duit yang saya dapat itu digunakan untuk naik taraf barangan permainan video," katanya.

Menurut Fatin Nabihah lagi, dia tiada perancangan untuk menjadikan streamer sebagai kerjaya sepenuh masa.

"Walaupun lumayan, apa saya lakukan itu sekadar hobi untuk suka-suka saja. Tidak lebih daripada itu kerana sudah ada kerjaya tetap," katanya.

MESF selalu berhubung dengan pemain e-sukan mahupun streamer melalui program dianjurkan.
MESF selalu berhubung dengan pemain e-sukan mahupun streamer melalui program dianjurkan.

MESF sokong usaha jadi streamer, Youtuber

Kuala Lumpur: Persekutuan E-sukan Malaysia (MESF) sentiasa memberi sokongan kepada peminat e-sukan yang serius menjadi streamer mahupun Youtuber atau penyedia kandungan (content creator) permainan video di negara ini.

Setiausaha Agungnya Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, ini kerana pihaknya menyedari pengaruh laman sosial ketika ini berupaya melahirkan banyak bakat baru dalam dunia penstriman termasuk berkaitan e-sukan.

Menurutnya, MESF juga menghargai penyertaan individu terbabit dalam memacu pembangunan e-sukan, memberi inspirasi kepada lebih ramai belia dan menjadi ikon kerana kejayaan mereka meraih pendapatan tinggi hasil kerja keras serta pengaruh yang ada.

"Kita sentiasa cakna dengan streamer, Youtuber mahupun content creator termasuk mereka yang sudah berjaya.

"Malah, ada dalam kalangan mereka berjaya memenangi jutaan ringgit hasil penyertaan dalam pertandingan di dalam dan luar negara.

"Kita meraikan mereka dalam majlis apreasiasi e-sukan dan memberi penghargaan supaya terus cemerlang hingga ke peringkat antarabangsa seterusnya jadi ikon e-sukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohamad Nazri, pihaknya juga selalu berhubung dengan pemain e-sukan mahupun streamer melalui program dianjurkan selain menghebahkan kejayaaan mereka dalam industri.

Mohamad Nazri Abdul Latiff
Mohamad Nazri Abdul Latiff

Katanya, usaha itu bertujuan memberi gambaran kepada masyarakat bahawa ia bukan sekadar hobi, tetapi boleh menjadi kerjaya yang memberi pendapatan lumayan.

"Kalau boleh, kita mahu beri kesedaran dan pendedahan kepada ibu dan ayah mengenai pulangan boleh diperoleh anak mereka dalam e-sukan.

"Hasrat kita adalah menggilap lagi bakat mereka yang berpotensi supaya menjadi profesional.

"Untuk merealisasikannya, satu modul perlu dibangunkan selaras dengan pelan pembangunan e-sukan dirangka Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya.

Katanya, MESF juga sentiasa mendokong usaha dibuat syarikat pembangunan e-sukan.

"Kita tak pernah mengetepikan mereka terutama golongan pengurus acara atau penganjur walaupun tidak ramai.

"Sebaliknya, kita mengalu-alukan juga mereka (penganjur) yang ada di luar bandar dan ada kemahiran untuk bersama membangunkan e-sukan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 12:00 PM