GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penyertaan orang ramai dalam sukan elektronik, yang biasanya dikenali sebagai e-sukan, semakin meningkat pada 2023 di tengah-tengah usaha oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memupuk bakat tempatan susulan semakin banyak kejohanan dan acara berkaitan dengannya diadakan.

Setakat ini Malaysia merekodkan kira-kira 14 juta pemain e-sukan.

Banyak program dan inisiatif perintisan telah diperkenalkan untuk menyokong pengembangan industri tersebut, disebabkan ia mudah untuk diakses melalui komputer peribadi dan telefon pintar.

Pengarah pembangunan kandungan digital MDEC Mohan Low Han Sen berkata memandangkan agensi kerajaan itu dipertanggungjawabkan untuk menyokong transformasi digital negara, MDEC memainkan peranan penting dalam menyokong bakat tempatan, menarik penganjuran acara antarabangsa di negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai hab bagi kecemerlangan e-sukan.

Hasil gabungan daripada usaha ini ekosistem e-sukan Malaysia semakin berkembang pesat dan negara menyaksikan lonjakan bilangan pengguna e-sukan yang aktif.

Untuk menyemarakkan lagi keterujaan ini, banyak program telah dijalankan, seperti pertandingan dalam acara utama seperti Festival Kandungan Digital Malaysia dan Cabaran Shoutcasting MDEC untuk pelajar sekolah menengah.

Dengan memupuk persekitaran perniagaan yang menggalakkan dan menyokong syarikat pemula dan organisasi e-sukan, Low berkata Malaysia boleh menjadi hab serantau untuk acara dan kejohanan penciptaan kandungan e-sukan.

"Industri pembangunan permainan di Malaysia telah meletakkan negara sebagai kuasa kandungan digital terkemuka di landskap global.

"Dengan ekosistem e-sukan yang berkembang maju Malaysia boleh melahirkan pasukan dan pemain e-sukan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta menarik penganjuran acara dan liga utama ke negara ini," katanya kepada Bernama.

Hasil tinggi

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum ini berkata industri permainan menyumbang kira-kira US$100 juta (RM468 juta) kepada hasil Malaysia pada 2018.

Industri itu diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 10.9 peratus antara 2018 dan 2023, dengan volum pasaran sebanyak US$168 juta menjelang 2023.

Malaysia berada di kedudukan ke-21 dunia dengan jumlah pendapatan permainan sebanyak US$633 juta.

Semasa Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM13 juta untuk membangunkan industri tersebut berikutan potensinya yang amat besar dan sebanyak RM30 juta dalam Belanjawan 2024 bagi pertumbuhan dan pembangunannya.

Bagi menyokong pembangunannya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) pada 20 Jun 2023 untuk melindungi pemain dan menyediakan panduan kepada penganjur.

Garis panduan itu mengandungi lima bab yang merangkumi skop pembangunan ekosistem yang selamat, dinamik, inklusif dan mampan.

Ini termasuk pengurusan kontrak pemain, tadbir urus dan pengurusan acara, pemantauan dan perlindungan kanak-kanak, kod tata laku dan etika, dan panduan tentang laluan kerjaya e-sukan.

Terdapat rancangan untuk memasukkan bab keenam mengenai penggunaan sains dan perubatan sukan.

Pemain e-sukan, pasukan pengurusan dan organisasi memuji langkah-langkah tersebut, kerana garis panduan menyediakan "jaminan" yang sangat diperlukan untuk industri berkembang maju secara mampan dalam tempoh jangka panjang.

Membangunkan ekosistem bagi masa depan

Low berkata kepakaran Malaysia dalam pembangunan permainan, animasi dan teknologi kreatif akan menyumbang ke arah penciptaan kandungan e-sukan berkualiti tinggi dan pengalaman permainan yang inovatif.

"Sebagai peneraju pemikiran, profesional dan organisasi e-sukan Malaysia boleh membentuk perbincangan industri dan memacu inovasi dalam sektor itu," katanya.

Menurutnya, MDEC akan berusaha untuk menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam keseluruhan industri permainan, termasuk e-sukan.

Bagaimanapun, katanya, penting juga untuk menangani akibat tidak diingini daripada pertumbuhan proaktif berkaitan kesejahteraan pemain; keterangkuman dan kepelbagaian; rangka kerja kawal selia, dan keselamatan siber dan etika.

Low menjelaskan memandangkan industri itu semakin mendapat perhatian, adalah penting untuk memastikan kesejahteraan fizikal dan mental atlet e-sukan dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, sokongan kesihatan mental dan penggalakan tabiat permainan yang sihat.

"Ketika industri berkembang, peraturan dan dasar yang komprehensif diperlukan untuk mentadbir kontrak pemain, pengurusan pasukan, hak harta intelek dan persaingan yang adil.

"Rangka kerja kawal selia yang telus dan adil penting bagi integriti dan kemampanan ekosistem," katanya.

Dengan menangani cabaran ini, Malaysia boleh memastikan pertumbuhan industri yang mampan dan bertanggungjawab, pada masa yang sama memaksimumkan faedah dan mengurangkan risiko.

Ini akan membolehkan Malaysia berkembang maju sebagai pemain terkemuka dalam arena e-sukan global, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 11:12 AM