Ferzalfie Fauzi


MAYA Ariffin memang tidak perlu diperkenalkan lagi buat peminat e-Sukan apabila dia sentiasa menjadi tumpuan setiap kali beraksi di alam maya bermain Playerunknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile.

Dia bukan pemain kompetitif serta mewakili mana-mana pasukan, namun sebagai ‘streamer’ sumbangannya dalam bidang e-Sukan yang kian berkembang memang tidak boleh dipertikaikan.

Menurut gadis berusia 23 tahun ini, PUBG Mobile menjadi pilihannya berbanding permainan video lain kerana mudah buatnya untuk berinteraksi bersama penonton alam maya dan juga peminatnya.

“Kalau anda perasan PUBG Mobile satu permainan video yang mudah buat anda berinteraksi dengan peminat. Anda masih sempat berborak dengan penonton yang ketika itu bertanya soalan atau memberi komen,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Maya atau nama sebenarnya, Siti Zumaiah Ariffah Zainal Ariffin mengakui PUBG Mobile bukan semata-mata permainan video, tetapi medium buatnya untuk menarik ramai peminat, sekali gus memberikannya pendapatan sebagai ‘streamer.’

“Selain ‘streaming’ saya juga membina hubungan baik dengan ‘streamer’ lain dan ada antara mereka pemain profesional yang mewakili negara.

“Kebanyakan pemain profesional ini mengakui mereka juga mempunyai peminat atau rakan di alam maya yang berpandangan negatif atau dalam bahasa e-Sukan ‘toksik’,” katanya.

Bagaimanapun, Maya mengakui dia tetap gembira dengan kariernya sekarang sebagai ‘streamer’ sepenuh masa dan bermain PUBG Mobile setiap hari, sekali gus menjadi sumber pendapatannya.

“Saya rasa gembira dapat fokus dengan apa yang saya buat sekarang walaupun ia hanya satu permainan video,” katanya yang tidak pernah menyertai mana-mana kejohanan secara serius.

Maya yang juga ‘influencer’ kepada pengeluar barangan e-Sukan, Todak Gaming, mengakui tidak pernah ditawar untuk menyertai mana-mana pasukan profesional PUBG Mobile dan dia juga mahu bergerak solo dengan berpegangkan prinsip untuk menjual namanya di peringkat lebih tinggi.

“Bagaimanapun, saya sentiasa mengikuti perkembangan e-Sukan di Malaysia. Ia sudah mula berkembang dengan pesat. Sekarang untuk seseorang itu berjinak-jinak dalam sukan ini sangat senang.

“Ia boleh bermula dengan hanya memiliki telefon bimbit, tidak seperti dulu yang perlu mendapatkan komputer khas untuk permainan video. Siapa saja yang berminat haruslah bersungguh-sungguh menceburi bidang ini tanpa perlu memikirkan soal lain,” katanya.

Maya juga tidak menafikan dia pernah dikecam penonton sebelum ini ketika mula berjinak dengan permainan video secara langsung di alam maya.

“Pada mulanya saya dikecam, ada yang menganggap saya tidak pandai bermain permainan video dan menyuruh saya menumpukan kepada tutorial solekan di laman YouTube.

“Ada juga yang melemparkan pandangan saya pemain baharu dan bermain PUBG Mobile tanpa berfikir. Bagaimanapun, lama-kelamaan permainan saya menjadi semakin baik dan berjaya menarik ramai penonton di laman sosial Facebook,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:00 AM
MAYA menunjukkan permainan PUBG Mobile di telefon pintarnya.
MAYA menunjukkan permainan PUBG Mobile di telefon pintarnya.