Siti Rohana Idris

Kuala Krai: Gagal mendapat kepercayaan pihak bank untuk membuat pinjaman menyebabkan Mohd Yazil Elham Yahya nekad mengeluarkan semua wang simpanan untuk membangunkan lokasi pelancongan yang diambil alih.

Daripada lokasi terbiar, kawasan yang dipenuhi semak samun dan beberapa chalet hampir roboh, kaki bukit hutan Jelawang itu kini berwajah baharu hasil percaturan Mohd Yazil, 47, yang menggunakan wang simpanannya selama 25 tahun bekerja.

Segala kerja baik pulih dan menaik taraf lokasi ekopelancongan yang dinamakan Stong Hill Resort itu menelan kos kira-kira RM1 juta dan sejak beroperasi sepenuhnya sejak empat tahun ini, tindakan nekad Mohd Yazil membuahkan hasil.

Dia berkata, dengan latar belakang pendidikannya dalam bidang perniagaan dan pemasaran, dia melihat kawasan sekitar Dabong, di sini, mempunyai potensi besar dibangunkan sebelum memulakan kerja membangunkan Stong Hill Resort pada 2018.

"Sebelum saya ambil alih resort ini, kawasannya sangat teruk dan terbiar dengan keadaan chalet yang rosak, semak samun sebelum saya memulakan kerja awal baik pulih iaitu membersihkan persekitarannya bermula dari pintu masuk sehingga ke laluan jambatan gantung untuk pendakian ke Gunung Stong.

"Seterusnya kerja baik pulih diteruskan dan untuk permulaannya, saya sudah menghabiskan kira-kira RM1 juta yang mana ia adalah wang simpanan hasil kerja selama 25 tahun.

"Memang agak sayang tapi saya anggap itu percaturan demi melihat kawasan ini kembali bernafas malah saya juga seorang yang sangat sukakan panorama hutan," katanya ketika ditemui di sini.

MOHD Yazil menunjukkan kawasan resort miliknya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Yazil menunjukkan kawasan resort miliknya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, sejak dulu lagi kawasan Dabong sudah dikenali dengan beberapa lokasi tarikan antaranya air terjun Jelawang, Kompleks Gua Ikan dan dalam kalangan pendaki pula, Kem Baha serta puncak Gunung Stong sering menjadi bualan.

Sejak dimajukan Stong Hill Resort, semua lokasi itu tidak pernah putus menerima kedatangan pengunjung terutama hujung minggu atau hari cuti dan tempahan semua chalet dan dorm laris ibarat goreng pisang panas.

"Selain membuat aktiviti pendakian dan meneroka gua, pengunjung juga datang untuk berkelah selain melakukan aktiviti berakit, 'tubing' di Sungai Kenerong dan menunggang ATV.

"Saya menjalankan kerjasama dengan kumpulan malim gunung serta pemandu arah untuk semua aktiviti yang ingin dilakukan pengunjung menerusi pakej yang disediakan," katanya.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan jika berlaku kejadian kepala air memandangkan lokasi resort itu berhampiran air terjun, Mohd Yazil berkata, faktor keselamatan sangat dititikberatkan.

Katanya, selain berwaspada setiap kali hujan lebat, maklumat awal juga diterima daripada malim gunung yang berada di Kem Baha atau Gunung Stong sekiranya berlaku fenomena kepala air seterusnya pengunjung di kaki bukit akan dimaklumkan lebih awal agar tidak berada di sekitar air terjun.

"Selain itu pihak pengurusan juga akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa berkaitan keselamatan pengunjung dan menjelang Disember hingga Januari, kawasan pendakian ditutup oleh Jabatan Perhutanan negeri kerana musim tengkujuh," katanya.

KAWASAN Stong Hill Resort menelan kos kira-kira RM1 juta untuk dibaikpulih. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KAWASAN Stong Hill Resort menelan kos kira-kira RM1 juta untuk dibaikpulih. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 12:44 PM