WAN NurulAsifa menunjukkan ruangan tidur dalam bilik dibuat daripada paip pembetung. FOTO Ramli Ibrahim.
WAN NurulAsifa menunjukkan ruangan tidur dalam bilik dibuat daripada paip pembetung. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


IDEA kreatif seorang wanita membina tempat penginapan daripada paip pembetung kelihatan unik hingga menarik tumpuan orang ramai.

Ia dibuka sejak Mac tahun lalu di Kampung Jelawang, Jalan Dabong-Jeli, dekat Kuala Krai dan setakat ini mempunyai 13 chalet seumpamanya.

Pengusahanya, Wan NurulAsifa Wan Ab Aziz, 26, anak tempatan Kampung Jelawang yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) merebut peluang bidang itu kerana tidak mahu bergantung kepada makan gaji.

Malah, dia melihat potensi kawasan ladang sawit milik bapanya seluas 1.2 hektar berhampiran Sungai Jelawang, Gunung Stong itu sesuai dimajukan pusat pelancongan seperti itu yang pertama di Kelantan.

“Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan UiTM Puncak Perdana, amat sukar untuk mendapat peluang pekerjaan ditawar pihak tertentu.

“Jadi, lebih baik saya mengambil usaha sendiri membuka pusat pelancongan dikenali Jelawang Pipe Resort dan Extreme Park dengan dibantu enam adik-beradik," katanya ketika ditemui di Kampung Jelawang, hari ini.

DERETAN bilik penginapan dibina daripada paip pembetung di pusat pelancongan di Kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim.
DERETAN bilik penginapan dibina daripada paip pembetung di pusat pelancongan di Kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim.

Wan NurulAsifa berkata, dia mendapat dorongan ibu bapanya, Wan Ab Aziz Wan Ishak, 51 dan Rozan Ab Aziz, 46, bagi membuka pusat pelancongan itu.

Menurutnya, dia sedang berusaha menambah lebih banyak tempat penginapan seumpama itu kerana permintaan pengunjung bertambah dan mereka berminat tidur dalam bilik paip pembetung yang belum pernah dirasai sebelum ini.

“Kami menyediakan tempat penginapan itu pelbagai kategori termasuk yang berkeluarga ada disediakan bilik dua tingkat daripada paip pembetung.

“Penginapan ini selesa dengan ketinggian 1.5 meter dan cuaca sejuk pada waktu malam sungguh menyegarkan.

“Harga ditawarkan hanya RM50 untuk bilik perseorangan dan RM60 bilik keluarga," katanya.

Menurutnya, pada siang hari, pengunjung boleh bersantai dan mandi sungai bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 12:33 PM