Hidayatidayu Razali


Tumpat: Polis sudah mengenal pasti lapan kawasan di Kelantan yang berisiko berlakunya tanah runtuh berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan berpanjangan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lapan kawasan berkenaan membabitkan lima daerah iaitu Gua Musang, Jeli, Bachok, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Katanya, kawasan di Gua Musang membabitkan Jalan Kuala Betis ke Lojing dan semua lokasi di Lojing berisiko berlaku tanah runtuh.

"Selain itu, ia membabitkan di Batu 18, Jalan Timur Barat Jeli ke Gerik; Tebing Sungai Kampung Kuau di Bachok; Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas dan di Kuala Krai membabitkan Lata Rek, Gunung Stong serta Kampung Chucuh Puteri.

DATUK Shafien Mamat (kanan) menandatangani plat perasmian ketika hadir pada Majlis Perasminan Surau Ar-Rasyidin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Shafien Mamat (kanan) menandatangani plat perasmian ketika hadir pada Majlis Perasminan Surau Ar-Rasyidin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Kawasan ini dikenal pasti berisiko memandangkan sudah ada berlaku tanah runtuh di lokasi berdekatan dan di sekitar Lojing hasil tinjauan saya dapati ada kawasan jalannya sudah retak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasminan Surau Ar-Rasyidin yang dibina dengan kos RM500,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini.

Shafien berkata, pihak polis menerusi pasukan pemantau bertugas dalam tempoh 24 jam untuk memantau lokasi bahaya dan keadaan hujan dengan kerjasama bilik gerakan bencana kerajaan negeri Kelantan.

Beliau menasihatkan orang ramai atau pengguna jalan supaya berhati-hati dan mengelakkan daripada ke lokasi berisiko ini kerana boleh mengundang bahaya.

"Kita mohon masyarakat sentiasa peka dengan mengikuti laporan dari semasa ke semasa menerusi media atau laman web yang ada seperti milik kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 3:06 PM