BUKIT Kudung kini menjadi destinasi rekreasi popular di Kelantan. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google
BUKIT Kudung kini menjadi destinasi rekreasi popular di Kelantan. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus

JIKA anda pengguna setia Lebuh Raya Timur-Barat dari utara menuju Pantai Timur, jangan lupa singgah melepaskan penat seketika di Bukit Kudung, Jeli, Kelantan.

Antara tarikan utama di Bukit Kudung adalah air terjun Lata Keding dan keindahan pemandangan di Lalang's Resort & Spa yang semakin menjadi sebutan.

Penulis sekeluarga berkesempatan singgah di dua lokasi berkenaan ketika pulang menziarahi keluarga di Jeli.

Bagi yang mahu berkunjung, jalan masuk utama ke dua kawasan itu terletak berhadapan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Laluan sepanjang empat kilometer dari jalan utama itu boleh dilalui kenderaan dan jika inginkan cabaran sambil menghirup udara segar, pengunjung boleh berjalan untuk masuk ke kawasan berkenaan.

Sebaik sahaja memasuki kawasan Lata Keding, penulis terpukau dengan keaslian sumber alam khatulistiwa itu yang masih kekal terjaga dan diakui, kawasan berkenaan mempunyai potensi sebagai destinasi rekreasi bagi pencinta alam semula jadi.

KOLAM mata air yang berbentuk hati menyambut kehadiran pengunjung. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google
KOLAM mata air yang berbentuk hati menyambut kehadiran pengunjung. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google

Deruan air sungai jernih yang mengalir tenang, kicauan burung dan unggas yang mendamaikan menyambut kehadiran kami.

Kelihatan ramai pengunjung membawa anak masing-masing untuk bermandi-manda di lata berkenaan dan tidak kurang juga yang berkelah di tepian batu.

Kehijauan hutan rimba yang jauh daripada kesibukan kota itu pastinya menjanjikan suatu pengalaman baharu bagi pengunjung yang datang ke lata berkenaan.

Ia pilihan destinasi rekreasi sesuai bagi mereka yang mahu mencari ketenangan dan berehat daripada hiruk-pikuk kota.

Bagi penduduk tempatan, kewujudan Lata Keding sudah lama diketahui namun ia baharu sahaja dipromosikan kepada pengunjung luar selepas seorang anak jati Kelantan membangunkan Lalang's Resort & Spa beberapa tahun lalu.

RESTORAN turut disediakan kepada pengunjung. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google
RESTORAN turut disediakan kepada pengunjung. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google

Destinasi rekreasi itu kini dilengkapi restoran, kolam, trek mendaki, lokasi untuk aktiviti luar seperti berkhemah, trek 'motorcross', dewan terbuka, tandas awam dan chalet penginapan.

Selain air terjun, antara tarikan utama pengunjung ke kawasan itu adalah menara kincir angin dan tugu I Love Bukit Kudung Jeli yang terletak megah di resort berkenaan.

Tidak ketinggalan, kolam mata air berbentuk 'love' yang menyambut kedatangan pengunjung menambahkan lagi pesona keindahan semula jadi di kawasan itu.

Andai masih mempunyai stamina, pengunjung juga boleh cuba mendaki Bukit Kudung setinggi 448 meter.

Laluan pendakiannya tidak kurang mencabar namun semua itu berbaloi kerana panorama alam semula jadi yang disajikan begitu indah.

Jika lapar atau dahaga, pengunjung juga tidak perlu risau kerana terdapat restoran yang menyediakan beraneka hidangan tempatan lazat dengan harga berpatutan.

ANTARA chalet yang disediakan. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google
ANTARA chalet yang disediakan. FOTO Ihsan Lalang’s Resort & Spa & Sumber Google

Pendek kata, meskipun jauh nun terperosok dalam bukit namun pelbagai kemudahan disediakan demi keselesaan pengunjung.

Jika ada peluang, penulis mahu kembali lagi untuk mencuba kemudahan penginapan chalet yang disediakan selain mengulang pesanan menu 'Sotong Telur Masin' enak di restoran terbabit.

Apapun diakui pembukaan resort berkenaan secara tidak langsung turut mempopularkan Lata Keding dan Bukit Kudung sebagai destinasi pelancongan di daerah yang diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai antara Bandar Paling Bahagia 2019 itu.

Jadi, jangan lupa berkunjung ke Bukit Kudung bagi merasai sendiri pengalaman 'bersatu' dengan alam semula jadi yang indah dan mendamaikan fikiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 7:00 AM