Syaherah Mustafa


Kuala Krai: Siapa sangka, seorang pemandu pelancong berlesen yang dahulunya 'menyorok' daripada 'mat salleh', kerana risau perlu berbahasa Inggeris, kini tampil berani dengan menggunakan bahasa antarabangsa itu untuk berkomunikasi.

Bukhari Mat, 43, atau lebih dikenali sebagai Bob, mengakui belajar berbahasa Inggeris melalui pengalaman kerja membawa pelancong dari luar negara seperti Belgium, Belanda, Jerman, Perancis dan England.

Dia yang berpengalaman sebagai pemandu pelancong sejak lebih 20 tahun lalu, aktif membawa pelancong mendaki Gunung Stong, di sini, selain turut bertanggungjawab untuk beberapa aktiviti pengembaraan dan ekstrem.

"Saya kini mula yakin untuk berbahasa Inggeris malah mengalu-alukan pengunjung luar negara kerana teruja untuk berkomunikasi dengan mereka. "Saya sendiri tidak sedar kemahiran berbahasa antarabangsa ini menjadi semakin baik, namun dalam masa sama berbangga dengan pencapaian ini.

"Setiap hari saya mempraktikkan 'speaking' supaya boleh melancarkan lagi percakapan. Saya akui, sejak pelancong luar negara tidak dapat datang ke sini, susulan pandemik Covid-19, ada rasa kekok untuk berbahasa Inggeris kerana tiada teman diajak berbual.

"Rahsia untuk saya mahir adalah dengan cara menterjemahkan sesuatu objek yang saya lihat ke dalam bahasa Inggeris, lebih kurang seperti latihan perbendaharaan kata selain kerap berkomunikasi dalam bahasa berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bob berkata, keberanian untuk 'speaking' itu juga selepas seorang pengunjung luar negara yang kini menjadi kenalan memberi nasihat agar tidak merasa malu untuk berbahasa Inggeris, yang penting pelancong dapat memahaminya.

"Pada awalnya, cara sebutan dan tatabahasa saya agak 'ke laut' tetapi lama kelamaan ia dapat diperbaiki apabila saya semakin selesa berkomunikasi menggunakan bahasa terbabit.

"Saya hanya anak kampung yang belajar setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk saya pandai berbahasa Inggeris. Hanya perlu ada keyakinan diri dan sifat mahu belajar untuk menguasai kemahiran berkenaan.

"Pedulikan kata-kata yang boleh membuatkan kita merasa rendah diri," katanya yang berharap agar pandemik Covid-19 segera pulih supaya pengunjung luar negara dapat kembali merancakkan sektor pelancongan tempatan.

Bukhari (tengah) bertanggungjawab menguruskan aktiviti pengembaraan di air di Sungai Kenerong, Stong, Dabong.FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Bukhari (tengah) bertanggungjawab menguruskan aktiviti pengembaraan di air di Sungai Kenerong, Stong, Dabong.FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 2:52 PM