Oleh Ekhwan Haque Fazlul HaqueRedzuan Muharam dan Mary Victoria Dass dan Zahir Senapiah


Johor Bahru: Ketika ramai penduduk Johor masih lena dibuai mimpi, Afiq Abd Latif, 29, perlu bangun seawal jam 3 pagi untuk bersiap ke tempat kerjanya di sebuah restoran makanan segera berhampiran Kompleks Sukan Sengkang, Singapura.

Seawal jam 3.30 pagi, Afiq sudah keluar dari rumahnya di Kawasan Perindustrian Tampoi, di sini.

Menjadi rutin kelazimannya untuk bergerak lebih awal melepasi pintu sempadan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Tambak Johor, di sini, terutama jika dia mula bekerja pada syif 6 pagi.

Afiq perlu bertahan menempuhi rutin 'ketat' itu sejak lapan tahun lalu kerana memikirkan niat asalnya mahu mencari rezeki halal serta meraih pendapatan bulanan lebih tinggi.

"Sebelum berhijrah ke Singapura, saya adalah kakitangan hotel di sini (Johor Bahru) selain sempat bekerja di sebuah cawangan hotel di Kuala Kumpur.

"Kebetulan terdapat premis pengurup wang di hotel tempat saya bekerja. Setiap hari saya lihat peningkatan kadar tukaran mata wang Singapura.

"Terdetik keinginan saya untuk bekerja di Singapura dan abang membantu mendapatkan pekerjaan di sana," katanya ketika ditemui di Setia Tropika, di sini, baru-baru ini.

Afiq berkata, pada awalnya dia hanyalah kru restoran yang ditugaskan melakukan kerja pembersihan.

"Namun saya dinaikkan pangkat menjadi ketua kru sebelum menyandang jawatan pengurus selepas dua tahun bekerja," katanya.

Biarpun memiliki Diploma Hotel dan Katering daripada Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Afiq tidak kisah bekerja dari peringkat bawah.

Malah, dia bersyukur kerana pengalaman bekerja sambilan di restoran makanan segera di bawah jenama sama ketika menuntut di kampus membantu mempercepatkan proses kenaikan pangkat.

"Namun saya tidak menafikan pengalaman berjauhan dengan keluarga selama dua tahun susulan penutupan sempadan Malaysia-Singapura sebagai waktu sukar buat saya.

"Sepanjang dua tahun pandemik, saya tidak pernah pulang ke Malaysia susulan penutupan sempadan. Saya pernah hampir berputus asa memikirkan sampai bila akan berpisah dengan isteri dan keluarga.

"Satu perkara yang paling ditakuti setiap perantau di sana (Singapura) adalah apabila terima panggilan daripada keluarga. Kami bimbang jika ada apa-apa berlaku di tanah air ketika itu," katanya.

AFIQ (dua dari kiri) bersama rakan sekerja di Singapura.
AFIQ (dua dari kiri) bersama rakan sekerja di Singapura.

Menurutnya, dia pernah menerima dua berita kematian membabitkan datuk dan bapa saudara ketika berada di sana.

"Namun saya anggap diri ini masih bertuah kerana memperoleh makanan percuma ketika bekerja dan diberi tempat tinggal oleh syarikat sepanjang dua tahun 'terperangkap' di Singapura," katanya yang bersyukur kerana dapat kembali berulang-alik dari rumah ke tempat kerja selepas pembukaan sempadan negara.

Berkongsi pengalaman bekerja di Singapura, Afiq berasal dari Kulai berkata, dia mendapat kerjasama baik daripada semua rakan sekerja.

"Walaupun saya pekerja asing, anak buah masih dengar arahan saya sebagai pengurus.

"Cuma biasalah, ada segelintir pelanggan memandang rendah kerana tahu saya pekerja asing dan bekerja pula dalam bidang perniagaan makanan serta minuman (F&B), namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat saya," katanya.

Seorang lagi warga Johor, Muhammad Syafiq Ahmad Hisham, 29, sanggup bekerja sebagai tukang cuci di hospital di Singapura walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Kajian Politik Pemerintahan dari Universiti Malaysia Sarawak.

Semua itu dilakukannya demi menampung kos rawatan bapanya, Ahmad Hisham Abu Shuib, 54, yang berdepan masalah cakera tulang belakang teranjak selain membantu adiknya, Muhammad Syahmi Ahmad Hisham, 25, menyambung pengajian di Amerika Syarikat.

"Saya pernah bekerja di Pulau Pinang, namun berhenti pada 2018 bagi menjaga ayah yang sakit.

"Pada 2019, saya menyertai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebagai Dai Muda. Pada tahun sama, saya mendapat dua tawaran bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, ayah sarankan saya bekerja di Singapura. Alhamdulillah, saya lulus dalam sesi temuduga dan diterima bekerja di republik itu," katanya.

Berkongsi cabarannya sebagai pekerja asing, Muhammad Syafiq mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan rakan sekerja bukan Melayu.

Bagaimanapun, dia tetap melakukan tugas sebaik-baiknya dan cuba bertahan kerana memikirkan niat asalnya merantau dan mencari rezeki halal.

"Tidak timbul soal perkauman kerana siapa rajin akan dapat pengiktirafan dan saya sendiri pernah terima anugerah pekerja terbaik daripada syarikat.

"Gaji pula dibayar mengikut kelulusan akademik dan daripada sekadar tukang cuci bawahan, saya sudah dinaikkan pangkat menjadi ketua pasukan dengan pendapatan bulanan mencecah hampir lima angka jika ditukarkan ke mata wang Malaysia," katanya yang kini dipertanggungjawabkan untuk melatih pekerja baharu.

Selain pulangan diterima, Muhammad Syafiq berkata, dia masih bertahan hingga kini selepas mendapat galakan daripada keluarga.

"Keluarga banyak memberi semangat untuk saya terus bekerja di sini. Bukan mudah hakikatnya kerana saya pernah tidur empat jam sehari dan diserang denggi.

"Ramai orang mengakui penat bekerja di sini (Singapura) dan ramai mengambil keputusan pulang bekerja di Malaysia kerana tidak tahan dengan dugaan dihadapi. Namun saya anggap semua itu cabaran sebelum berjaya.

"Saya juga belajar cara pengurusan sektor swasta. Berkat doa semua, saya dapat menghantar emak (Rafizah Hamid, 50) dan ayah mengerjakan umrah, beli kereta buat mereka (emak dan ayah), motosikal untuk adik, beli rumah serta macam-macam lagi.

"Tidak kiralah apa pekerjaan sekalipun yang penting halal kerana sekarang bukan lagi zaman boleh memilih kerja. Diharap perkongsian saya termasuk di TikTok sebelum ini memberi inspirasi untuk mereka di luar sana," katanya.

MUHAMMAD Syafiq sanggup bekerja sebagai tukang cuci dekat sebuah hospital di Singapura bagi membantu keluarga. FOTO Ihsan Muhammad Syafiq Ahmad Hisham
MUHAMMAD Syafiq sanggup bekerja sebagai tukang cuci dekat sebuah hospital di Singapura bagi membantu keluarga. FOTO Ihsan Muhammad Syafiq Ahmad Hisham

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 12:15 PM