NOR Emyliana kini menjadi tukang jahit selepas berhenti kerja sebagai operator kilang elektronik di Singapura. FOTO Ihsan Nor Emyliayana.
NOR Emyliana kini menjadi tukang jahit selepas berhenti kerja sebagai operator kilang elektronik di Singapura. FOTO Ihsan Nor Emyliayana.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur : Kemahiran menjahit dipelajari selepas tamat persekolahan dimanfaatkan wanita untuk menjadi tukang jahit selepas nekad berhenti kerja sebagai operator sebuah kilang elektronik di Singapura, September lalu.

Nor Emyliana Rosmadi, 26, ibu kepada seorang cahaya mata berkata, dia mengambil keputusan berhenti secara sukarela demi menjaga bayi sulungnya, Nur Helena yang baru berusia lima bulan.

Biarpun sedar keputusan itu menyebabkannya kehilangan pendapatan empat angka, Nor Emyliana yang menetap di Bakar Batu, Johor Bahru akur rezekinya bukan lagi di negara seberang tambak.

"Saya bekerja di Singapura sejak September 2018 dengan niat untuk membantu keluarga dan saya mampu meraih pendapatan bulanan mencecah RM5,000.

"Pendapatan itu membolehkan saya menyimpan dan menjelaskan komitmen bulanan termasuk melangsaikan hutang namun kini semuanya tinggal kenangan.

"Saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga anak walaupun sepatutnya kembali bekerja di Singapura awal September lalu selepas bercuti sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

GAMBAR kenangan bersama rakan sekerja di Singapura. FOTO Ihsan Nor Emyliana.
GAMBAR kenangan bersama rakan sekerja di Singapura. FOTO Ihsan Nor Emyliana.

Walaupun berat dengan keputusan itu, Nor Emyliana cuba menerima kenyataan dan bersyukur kerana suami, Muhammad Haziq Mohd Shah, 24 yang bekerja sebagai pemandu lori sentiasa memberi sokongan moral buatnya.

"Saya memang ada perancangan untuk berhenti tetapi bukan pada tahun ini atau dalam waktu terdekat.

"Lagi pun, saya sudah biasa bekerja dan ada pendapatan bulanan serta simpanan sendiri jadi selepas berhenti ada sedikit rasa terkesan walaupun membuat keputusan itu dengan kerelaan sendiri.

"Namun, keluarga tidak henti memberi semangat dan ia membuatkan saya tenang serta perlahan-lahan belajar untuk reda menerima ketentuan Allah," katanya.

Bercerita lanjut, Nor Emyliana berkata, dia akan menghantar anaknya ke rumah kakak sebelum ke kedai menjahit di Taman Air Biru Pasir Gudang dan berada di situ dari10 pagi hingga 5.30 atau 6.30 petang.

"Jika ada kerja jahitan tangan, saya akan sambung di rumah pada sebelah malam selepas anak tidur. Ada ketikanya saya menjahit sehingga 3.30 pagi demi menyiapkan tempahan pelanggan," katanya.

Nor Emyliana yang mengambil upah menjahit pakaian pengantin dan baju kanak-kanak berkata, buat masa ini, tempahan yang diterima agak memberangsangkan.

"Alhamdulillah, rezeki ada untuk saya. Biarpun pendapatan tidak banyak seperti dulu tetapi dalam sebulan, saya boleh meraih hampir RM1,000 hasil upah menjahit.

"Paling seronok saya mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 3:20 PM