FARASAFINA menawarkan perkhidmatan mencuci di pejabat dan juga dari rumah ke rumah dengan dibantu suaminya untuk menampung kehidupan mereka. FOTO Ihsan Farasafina Md Daud
FARASAFINA menawarkan perkhidmatan mencuci di pejabat dan juga dari rumah ke rumah dengan dibantu suaminya untuk menampung kehidupan mereka. FOTO Ihsan Farasafina Md Daud
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Siapa sangka selepas 23 tahun wanita anggun yang bekerja di dalam pejabat berhawa dingin dengan berpakaian kemas sesuai kerjaya di sebuah bank di Lembah Klang, akhirnya mengubah landskap hidupnya di bumi kanggaru.

Dia kini tanpa malu bertukar kerjaya sebagai tukang cuci sejak tiga bulan lalu.

Farasafina Md Daud, 45, bagaimanapun tidak kekok menukar penampilan dan persekitaran kerja meskipun sebelum ini dia berada dalam zon selesa dengan gaji jauh lebih lumayan tanpa lelah mengerah kudrat.

Berkongsi kisahnya, ibu tiga anak itu berkata, dia dan keluarganya berpindah ke Perth, Australia kerana mengikut suami, Ahmad Yassir Hamdan, 48, melanjutkan pelajaran ijazah sarjana di The University of Western Australia (UWA).

Katanya, kos sara hidup di Australia sangat tinggi, malah mereka perlu membayar sewa rumah 415 Dolar Australia (RM1,251.91) setiap minggu selain mengakui tidak mahu wang simpanan mereka terus menyusut.

"Saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hospital kanak-kanak di bawah agensi selain menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah secara persendirian. Saya dibantu suami untuk menampung kehidupan sepanjang dua tahun di sini.

"Kesukaran mendapat pekerjaan mengikut pengalaman dan kelayakan menyebabkan saya memilih kerja sebagai tukang cuci kerana mereka lebih mementingkan pengalaman tempatan," katanya di sini, semalam.

FARASAFINA dan keluarganya berpindah ke Perth kerana mengikut suami yang melanjutkan pelajaran di UWA. FOTO Ihsan Farasafina Md Daud
FARASAFINA dan keluarganya berpindah ke Perth kerana mengikut suami yang melanjutkan pelajaran di UWA. FOTO Ihsan Farasafina Md Daud

Menurutnya, dia mematuhi peraturan Australia iaitu mendaftarkan perniagaan dengan Nombor Perniagaan Australia (ABN) dan mendapatkan pelepasan polis selain menyediakan kad bekerja dengan pemeriksaan kanak-kanak (WWCC) kerana berkerja di hospital kanak-kanak.

"Kerja saya sama seperti pembantu rumah cuma tidak perlu memasak. Saya mencuci dan mengemas dapur atau mengikut permintaan pelanggan dalam masa minimum dua jam dan pembersihan terperinci mengambil masa 10 jam.

"Pelanggan terdiri dalam kalangan orang Arab, Singapura dan penduduk tempatan. Pada mulanya harga perkhidmatan kami $25 Dolar Australia (RM75.42) sejam, tetapi sekarang $30 (RM90.50) dan kalau jarak jauh kami ambil lebih sikit. Dalam seminggu biasanya kami dapat tiga rumah," katanya.

Katanya, selepas berkongsi pengalaman bekerja sebagai tukang cuci di TikTok, dia menerima banyak komen positif dan negatif daripada netizen termasuk ada yang mengecamnya sanggup meninggalkan negara untuk bekerja di luar.

Bagaimanapun menurutnya, dia tidak pernah malu mengaku bekerja sebagai tukang cuci, malah gaji pekerjaan itu mahal dan berbaloi bagi meneruskan kehidupan di sana dan paling penting ia halal.

FARASAFINA kini tanpa malu bertukar kerjaya sebagai tukang cuci sejak tiga bulan lalu. FOTO Ihsan Farasafina Md Daud
FARASAFINA kini tanpa malu bertukar kerjaya sebagai tukang cuci sejak tiga bulan lalu. FOTO Ihsan Farasafina Md Daud

"Saya gembira melakukan kerja ini biarpun pada pandangan mata orang mungkin saya downgrade (turunkan taraf) hidup daripada bekerja di pejabat kepada tukang cuci tetapi saya tidak kisah, malah penduduk di sini juga tidak pernah memandang rendah.

"Selain itu, dalam masa sama saya mahu orang kita lihat realiti sebenar tinggal di sini yang sebenarnya sukar dapat kerja tanpa pengalaman tempatan (untuk orang yang baru berhijrah)," katanya mengakui banyak mendapat komen positif dan sokongan.

Farasafina berkata, selepas video mendapat perhatian, dia banyak menerima mesej daripada orang ramai yang mahu bekerja dengannya namun buat masa ini dia tidak menerima pekerja lain kerana melakukannya bersama suami.

"Saya harap tidak lama lagi usaha ini berkembang dan saya boleh ambil pekerja dalam kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di Australia untuk membantu mereka cari duit poket kerana saya dapat banyak kerja di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 7:10 AM