Redzuan Muharam


Johor Bahru: Selepas lebih dua tahun tidak pulang ke tanah air, Muhammad Effy Syafiq Mohd Fozi yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Singapura akhirnya kembali ke pangkuan keluarga.

Kepulangan Muhammad Effy Syafiq, 28, mengejutkan keluarga terutama isteri, Siti Fatimah Muhammad, 27, yang amat merinduinya dan sudah lama menanti tibanya detik itu.

Kisah itu mendapat perhatian netizen selepas Siti Fatimah memuat naik video di TikTok.

Bercerita lanjut, Muhammad Effy Syafiq berkata, dia pulang ke tanah air pada 16 Mac lalu dan sengaja merahsiakan hal itu daripada keluarga kerana mahu memberi kejutan.

Muhammad Effy Syafiq yang menetap di Taman Bukit Kempas, di sini, mengakui ada keinginan pulang ke tanah air sebelum ini tetapi terpaksa tangguhkan dahulu niat itu.

Katnya, dia tidak boleh menunggu lagi kerana belum ada pengumuman rasmi dibuat Singapura mengenai pembukaan sempadan sehingga kini.

"Saya bekerja di Singapura sejak 2014 dan dulu berulang-alik dari tempat kerja ke rumah setiap hari. Selepas negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tidak pulang ke sini dan jujurnya memang tertekan berada di Singapura kerana kos hidup yang tinggi.

"Di sana, saya perlu membayar sewa bilik yang bukan murah dan memang sukar cari kedai Melayu tetapi paling sedih adalah apabila tidak dapat pulang beraya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia sudah berfikir sehabis baik sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air.

Katanya, keputusan itu juga dibuat tanpa desakan atau paksaan keluarganya.

"Saya pulang kerana memikirkan anak yang masih kecil di sini dan tak sanggup lagi untuk lepaskan rindu dengan hanya berhubung menerusi panggilan video dan telefon atau melambai daripada jauh di tambak sempadan.

"Buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk bekerja sebaliknya mahu habiskan masa bersama keluarga, mungkin sehingga Aidiladha nanti.

"Sebelum pulang ke sini, saya sudah maklumkan kepada majikan dan mereka faham malah ada tawarkan cuti dua minggu tetapi saya nekad berhenti kerana sudah cukup rasanya tinggal di negara orang selama lebih dua tahun," katanya.

MUHAMMAD Effy Syafiq memeluk Siti Fatimah selepas terpisah sejak dua tahun lalu (kiri) dan pasangan itu bersama anak mereka (kanan). FOTO Ihsan pembaca
MUHAMMAD Effy Syafiq memeluk Siti Fatimah selepas terpisah sejak dua tahun lalu (kiri) dan pasangan itu bersama anak mereka (kanan). FOTO Ihsan pembaca

Sementara itu, isterinya, Siti Fatimah berkata, dia memang terkejut dengan kepulangan suami kerana tidak diberitahu lebih awal atau mendapat bayangan mengenainya.

"Suami pulang kira-kira jam 1 pagi dan ketika itu, saya sedang tukarkan lampin pakai buang anak. Saya ada nampak kelibat lelaki berbaju hitam masuk ke rumah dan menyangka dia adalah bapa saudara suami kerana bentuk badan mereka hampir sama.

"Rupanya, suami yang pulang dan disebabkan itu, saya terus pergi ke arahnya (suami) serta menariknya daripada ibu mentua. Saya lakukannya secara spontan dan sudah mohon maaf dengan ibu mentua malah dia faham mengapa saya begitu," katanya.

Berkongsi cabaran sepanjang dua tahun tinggal berjauhan dengan suami, Siti Fatimah berkata, dia tiada pilihan kecuali menguruskan keperluan anak, Muhammad Aisy Riezqiey yang kini berusia dua tahun lapan bulan dengan sendiri namun bersyukur kerana keluarga mentua banyak membantu.

"Rumah saya dan mentua tidak jauh jadi kami kerap berjumpa. Ada ketikanya, saya bantu ibu dan ayah mentua di kantin sekolah bagi menghilangkan bosan.

"Hampir setiap hari saya berhubung dengan suami namun setakat menerusi panggilan telefon dan video di WhatsApp, itu pun supaya anak dapat melihat ayahnya. Ini kerana suami ke sana ketika anak masih bayi, seingat saya waktu masih merangkak lagi.

"Disebabkan terlalu lama terpisah, anak ambil masa tiga hari untuk sesuaikan diri dengan bapanya dan kini sudah serasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 6:37 PM