Redzuan Muharam


Johor Bahru: Satu ketika dulu, Mohd Baihaqi Hasbullah atau mesra disapa Aqi pernah menyumbang keringat buat negara sebagai atlet memanah berkuda kebangsaan.

Aqi, 30, juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains Ekuin, namun masalah peribadi mengubah hidupnya menjadi gelandangan awal tahun ini.

Memikirkan perjalanannya masih jauh, Aqi akur dengan ketentuan Ilahi dan cuba memulakan hidup baru dengan bekerja sebagai tukang cuci.

"Masalah yang berlaku dalam kehidupan sebelum ini mengheret saya menjadi gelandangan dan hilang tempat berteduh.

"Disebabkan enggan terputus nafkah anak, saya cuba mencari kerja dan saya diterima bekerja sebagai tukang cuci.

"Ikutkan memang tiada pengalaman namun keadaan mendesak diri untuk terima kenyataan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pengalamannya, Aqi berkata, hanya dia seorang saja warga tempatan bertugas di tempatnya bekerja ketika itu dan selebihnya warga asing.

Bagaimanapun, rakan sekerja warga asing itulah yang mengajarnya cara bekerja malah turut memberi makanan kepadanya yang ketika itu hanya sehelai sepinggang.

"Satu sen duit pun tiada ketika itu dan memang lapar. Saya berasa seperti berada di tahap paling bawah dalam hidup kerana seumur hidup tidak pernah makan gaji.

"Pada waktu itu, saya tiada pilihan melainkan reda dengan aturan Allah. Umi (ibu) ada hubungi untuk bantu daripada segi kewangan tetapi saya menolak kerana mahu belajar rasa keperitan," katanya.

Melihat peluang terbentang di depan mata, Aqi yang menetap di Permas Jaya, di sini mengorak langkah dengan membuka syarikat perkhidmatan cucian cermin kira-kira lima bulan lalu.

Usahanya membuahkan hasil apabila kehidupannya bertambah stabil hingga mampu meraih pendapatan bulanan mencecah lima angka.

Menurutnya, idea untuk menawarkan perkhidmatan mencuci tercetus selepas melihat cermin sebuah kedai amat kotor.

Katanya, dia yakin perkhidmatan itu boleh pergi jauh kerana percaya di mana ada masalah, di situlah ada peluang perniagaan.

Menurut Aqi, walaupun mengambil upah mencuci cermin, kerja hakikinya sebagai tukang cuci diteruskan seperti biasa.

Dia juga sempat dinaikkan pangkat sehingga menjadi penyelia dan berhasrat untuk bekerja selama enam bulan sahaja.

"Bagaimanapun, Allah takdirkan saya bekerja selama tiga bulan saja dan saya mengambil keputusan berhenti Mac lalu kerana ingin memberi tumpuan kepada syarikat sendiri.

"Berbekalkan pengalaman, Alhamdulillah, saya mendapat kepercayaan dan menerima tawaran projek cucian di Johor, Pulau Pinang dan Sabah walaupun masih baru ketika itu.

"Buat masa ini, saya sudah ada pasukan sendiri membabitkan lima pekerja, namun saya masih turun ke lapangan untuk melakukan kerja cucian," katanya.

Aqi berkata, cabaran tetap ada hingga membuatkannya hampir putus asa namun anak jadi penguat untuk bangkit.

Biarpun masih hijau, Aqi merancang memajukan lagi ekonomi gig dalam bidang cucian cermin sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.

"Impian saya adalah melahirkan sekurang-kurangnya 1,000 tukang cuci tingkap profesional.

"Saya bercadang melakukannya dengan menubuhkan kolej yang menawarkan kursus pendek kemahiran cucian tingkap bagi melatih mereka yang serius untuk menceburi bidang ini," katanya.

(Gambar kiri) Aqi ketika mewakili negara dalam acara sukan memanah berkuda. (Gambar kanan) Aqi pernah menjadi tukang cuci di pusat beli belah selama tiga bulan sebelum menjalankan sendiri perkhidmatan menerusi syarikatnya. FOTO IHSAN MOHD BAIHAQI HASBULLAH
(Gambar kiri) Aqi ketika mewakili negara dalam acara sukan memanah berkuda. (Gambar kanan) Aqi pernah menjadi tukang cuci di pusat beli belah selama tiga bulan sebelum menjalankan sendiri perkhidmatan menerusi syarikatnya. FOTO IHSAN MOHD BAIHAQI HASBULLAH

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 6:20 PM