Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Afiq (Muhammad Syafiq) jenis anak yang suka memberi kejutan dan hadiah bukan saja kepada saya tetapi suami, kakak serta abangnya.

"Pemberiannya baru-baru ini membuatkan saya amat terharu," kata ibu tiga anak, Sumarnie Edison.

Sumarnie memberi reaksi itu ketika diminta menceritakan kisah di sebalik cincin emas yang dihadiahkan anak bongsunya, Muhammad Syafiq Hamka, 6.

Kisah itu mendapat perhatian warganet sejak kelmarin selepas tular gambar Muhammad Syafiq berada di kedai emas untuk membeli cincin dan videonya membuat kejutan buat ibunya di rumah.

Warganet memuji sikap Muhammad Syafiq kerana tahu menghargai ibunya walaupun masih kecil.

Bercerita lanjut, Sumarnie yang menetap di Penampang, Kota Kinabalu berkata, cincin itu dihadiahkan Muhammad Syafiq kepadanya pada 15 November lalu.

Sumarnie tidak sangka menerima hadiah itu daripada Muhammad Syafiq yang membelinya menggunakan wang simpanannya sendiri.

"Pada hari itu, Afiq keluar bersama suami saya (Hamka Marsaling) dan abangnya (Muhd Dzulfiqar) ke kedai gunting rambut.

"Saya pula menemani anak sulung (Siti Nurshafiqa) ke sebuah pusat beli belah.

"Setibanya di rumah dan membuka pintu, Afiq mengejutkan saya dengan menghulurkan bekas berisi cincin berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Syafiq menunjukkan bungkusan cincin emas yang dibeli untuk dihadiahkan kepada ibunya. Foto Ihsan Sumarnie Edison
Muhammad Syafiq menunjukkan bungkusan cincin emas yang dibeli untuk dihadiahkan kepada ibunya. Foto Ihsan Sumarnie Edison

Menurutnya, suami memberitahunya yang Muhammad Syafiq bersungguh mengajaknya ke kedai emas untuk membeli cincin buatnya.

"Kebetulan, kedai emas itu terletak di hadapan premis gunting rambut.

"Selesai menggunting rambut, Afiq terus mengajak suami saya ke kedai emas itu.

"Rupa-rupanya, dia mahu membelikan barangan kemas buat saya dengan wang simpanannya yang dibawa dari rumah," katanya.

Sumarnie berkata, Afiq pada mulanya mahu membelikannya gelang tangan tetapi harganya mahal jadi suami membantunya memilih dan akhirnya membeli cincin berharga RM260.

"Afiq hanya membawa RM190 ketika itu jadi suami membantu menambah wang yang tidak cukup," katanya.

Sumarnie terharu kerana cincin itu dibeli dengan oleh Muhammad Syafiq menggunakan wang dihadiahkan kepadanya ketika sambutan ulang tahunnya pada 24 Oktober lalu.

"Ketika sambutan ulang tahun kelahirannya dua bulan lalu, saya dan suami menghadiahkannya wang RM200 yang diselitkan di dalam kek.

"RM10 diberi kepada abang dan kakaknya. Saya tak sangka bakinya itu digunakannya untuk membelikan saya cincin.

"Suami ada beritahu sebelum Afiq buat kejutan kerana enggan saya memarahinya dan berasa bersalah menerima pemberian Afiq," katanya.

Muhammad Syafiq bersama Sumarnie. Foto Ihsan Sumarnie Edison
Muhammad Syafiq bersama Sumarnie. Foto Ihsan Sumarnie Edison

Sementara itu, Sumarnie mengakui terkejut apabila kisah anaknya menjadi bualan warganet di laman sosial hingga turut dihubungi pemberita portal berita dari Indonesia.

"Memang saya ada memuat naik gambar dan video Afiq dalam tetapan privasi tetapi ada rakan meminta saya menukarnya kepada tetapan umum kerana mahu berkongsi kisah itu di laman sosialnya.

"Dalam tempoh sejam, banyak notifikasi diterima dan tidak sangka menerima respon yang banyak seperti itu.

"Ini kerana niat asal saya adalah untuk berkongsi detik itu di laman sosial untuk kenangan dan tatapan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:30 PM