Lim Guan Eng, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Lim Guan Eng, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Hakim Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menzahirkan kekecewaan dan menegur tindakan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis berhubung kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang sedang dibicarakan.

Hakim Azura Alwi berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat kerana semua pihak termasuk pasukan pembelaan tertuduh mempunyai pengetahuan penuh, matang dan bukan kali pertama menghadapi prosiding mahkamah.

Katanya, pihak berkaitan juga diingatkan untuk tidak mengambil mudah perkara berbangkit bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

"Perkara seperti ini (keluarkan kenyataan subjudis) pernah timbul sebelum ini, namun tiada sebarang perintah dikeluarkan. Ia masih berlaku lagi, saya boleh tegur tapi tiada jaminan (ia tidak berulang).

"Saya amat kecewa kerana kes ini sedang berjalan. Perbicaraan mendapat liputan media meluas kerana ia membabitkan kepentingan awam. Saya harap pihak berkaitan dan tertuduh menghormati mahkamah berkenaan perkara ini," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah dirujuk dengan satu laporan polis membabitkan artikel dikeluarkan Guan Eng yang menyatakan tidak bersalah atas tuduhan jejak wang (rasuah).

"Kita memohon mahkamah memberi teguran supaya ia tidak berlaku lagi (keluarkan kenyataan subjudis), itu sahaja," katanya.

Susulan itu, peguam Guan Eng Gobind Singh Deo berkata, pihaknya memahami dan menerima permohonan dibuat pihak pendakwaan bahawa kenyataan itu, tidak sepatutnya dikeluarkan.

"Kami memohon maaf jika ia menimbulkan sebarang kesulitan," katanya.

Jumaat lalu, Guan Eng menyifatkan keterangan saksi mahkamah yang mendakwa beliau menerima rasuah tidak benar dan satu rekaan semata-mata.

Pengerusi Dap itu dipetik berkata, beliau tak menerima satu sen dan jelas tiada sebarang jejak wang sama ada dalam bentuk wang tunai atau dalam akaun bank.

Pada hari sama, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) mengaku di Mahkamah Sesyen, beliau menggunakan orang tengah untuk menyerahkan RM2 juta yang diberi nama 'coklat' kepada Guan Eng, kerana bimbang memegang wang tunai dalam jumlah banyak.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, yang juga saksi pendakwaan ke-23 dilaporkan berkata, sumbangan itu sebahagian daripada wang permintaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, iaitu 10 peratus keuntungan projek syarikat dianggarkan RM30 juta.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut, di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah, bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, di antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 1:15 PM