Lim Guan Eng hadir pada perbicaraan  pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pula Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta di Mahkamah Sesyen Jenayah. FOTO Saifullizan Tamadi
Lim Guan Eng hadir pada perbicaraan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pula Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta di Mahkamah Sesyen Jenayah. FOTO Saifullizan Tamadi
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Seorang saksi penting dalam kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan beliau diajar untuk menukar cerita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembayaran RM2 juta yang dikatakan dibayar kepada Ahli Parlimen Bagan itu.

Bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Bhd (CZBUCG) Azli Adam berkata beliau tidak pernah diajar menukar cerita sama ada oleh agensi SPRM, timbalan pendakwa raya atau mana-mana pihak lain dalam siasatan kes rasuah berkenaan untuk mengaitkan Guan Eng.

Azli yang juga saksi pendakwaan ke-28, sebelum ini turut memberikan keterangan pada tahun 2019 sebagai saksi dalam kes ahli perniagaan G Gnanaraja yang didakwa menipu pengarah CZBUCG Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli membabitkan cek RM2 juta dan invois yang sama (dalam kes rasuah Guan Eng.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar pada sesi pemeriksaan semula, Azli turut menafikan beliau diajar oleh Zarul Ahmad untuk memberikan keterangan bahawa wang terbabit adalah bagi dibayar kepada kepada Guan Eng.

Sebelumnya ketika disoal peguam bela Gobind Singh Deo, saksi itu berkata Zarul Ahmad yang ketika itu disoal siasat dan ditahan reman memberitahunya bahawa wang berjumlah RM2 juta adalah untuk diserahkan kepada Guan Eng, semasa mereka ditempatkan di bilik siasatan SPRM di antara tahun 2018 dan 2020.

Sementara itu, ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pula, Azli berkata, beliau mengetahui wang yang sama diberikan kepada Gnanaraja ketika kes tipu membabitkan ahli perniagaan itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada beliau melihat wang terbabit diberikan kepada Gananaraja, saksi menjawab, "tidak nampak."

Azli berkata, dalam kes rasuah Guan Eng pula, beliau juga tidak melihat Zarul Ahmad memberikan wang berkenaan kepada ahli perniagaan terbabit.

Katanya, ketika kes berkenaan dibicarakan di Shah Alam, beliau hanya mengetahui wang itu diberikan kepada Gnanaraja tetapi tidak mengetahui sama ada ia dibayar kepada Guan Eng.

Guan Eng, 63, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek terbabit, berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut terbabit.

Sementara itu ketika menjawab soalan Gobind, saksi bersetuju bahawa dalam kes tipu membabitkan Gnanaraja, aduan adalah berhubung RM2 juta diberikan kepada ahli perniagaan itu dan beliau (Gananaraja) menipu Zarul Ahmad.

Saksi itu juga bersetuju bahawa keterangan yang diberikan mengenai cek RM2 juta dan invois dalam kes tipu di Shah Alam membabitkan cek dan invois sama dengan kes rasuah Guan Eng.

Gobind: Tetapi kamu tidak beritahu mahkamah bahawa kamu beri keterangan terhadap orang lain mengenai keterangan kamu di Shah alam?

Azli: Betul

Gobind: Tidakkah itu salah?

Azli: Saya tidakditanya

Gobind: Bukankah perkara itu penting untuk beritahu?

Azli: Ya penting ..

Gobind: Kenapa kamu tidak beritahu mahkamah?

Azli: Tidak ditanya

Gobind: Kamu tidak ditanya oleh peguam bela dan timbalan pendakwa raya?

Azli : Ya

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 3:56 PM