LIM Hock Seng. FOTO Arkib NSTP
LIM Hock Seng. FOTO Arkib NSTP
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Bayaran bagi kos kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) tiga jalan utama di Pulau Pinang, dibuat menerusi pindahan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang.

Perkara itu dimaklumkan bekas Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Pulau Pinang, Lim Hock Seng, dalam keterangannya pada perbicaraan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang didakwa atas tuduhan rasuah, membabitkan pembinaan terowong dasar laut serta projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Terdahulu, pada prosiding di Mahkamah Sesyen, di sini, Hock Seng yang kini Ketua Seksyen (Pengangkutan) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) berkata, kos kajian kebolehlaksanaan dan rekaan perician awal bagi projek berkenaan adalah sebanyak RM305 juta.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada sebarang kajian kos kebolehlaksanaan dilakukan, Hock Seng menjawab: "Ya"

Wan Shaharuddin: Jumlah bayaran berapa kosnya?

Hock Seng: Kos kajian kebolehlaksanaan dan rekaan perincian awal untuk pembinaan terowong dasar laut serta projek pembinaan jalan utama adalah sebanyak RM305 juta

Wan Shaharuddin: Tunai atau pemindahan tanah?

Hock Seng: Pemindahan tanah

Wan Shaharuddin: Untuk Lot 702 dan 713?

Hock Seng: Lot 702 dan 713 dikenal pasti untuk dibayar kepada kontraktor bagi kerja yang sudah disempurnakan," katanya.

Ketika disoal Wan Shaharuddin mengenai pemilikan tanah itu, Hock Seng menjawab, "Milik kerajaan Pulau Pinang."

Wan Shaharuddin: Bukan milik Guan Eng?

Hock Seng: Bukan

Saksi ketiga pendakwaan itu kemudian membacakan pernyataan saksinya dan memberitahu beliau menghadiri satu mesyuarat di Tingkat 28, Komtar Pulau Pinang pada 2 petang, 26 Januari 2011.

"Dalam mesyuarat itu, Guan Eng memaklumkan sebuah syarikat swasta sedang menerokai cadangan untuk membina sebuah terowong di Pulau Pinang dan bercadang untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri.

"Sejurus mendapat arahan daripada mesyuarat itu, saya kemudian meminta seorang jurutera dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyediakan satu kertas kerja bertajuk 'Perancangan Link Ketiga Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Dalaman Georgtown dan Jalan Pintas, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam, Pulau Pinang'," katanya.

Beliau turut mengesahkan menghubungi wakil Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG), iaitu Datuk Zarul (Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli) dan Lee Chee Hoe serta jurutera dari MPPP untuk berbincang mengenai pembinaannya.

Katanya, syarikat itu (BUCG) meminta supaya MoU ditandatangani dengan secepat mungkin selain cadangan MoU diteliti oleh Datuk Penasihat Undang-undang Negeri (PUN) yang tidak mendatangkan sebarang kos kepada kerajaan negeri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sesyen Azura Alwi bersambung esok.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar, di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:22 PM