Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Perbicaraan hari pertama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa atas empat tuduhan rasuah, bermula tegang apabila pihak pembelaan mempertikaikan kaitan beberapa keping gambar yang dikemukakan pendakwaan.

Terdahulu, pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, yang bermula kira-kira 10 pagi hari ini, pihak pendakwaan memulakan sesi dengan memanggil saksi pertamanya, Datuk Geethanjali G, 35, yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian mengemukakan beberapa keping gambar kepada saksi bagi tujuan pengecaman.

Ketika ditanya di mana gambar berkenaan diambil? Geethanjali menjawab: "Di rumah saya".

Wan Shaharuddin: Siapa individu dalam gambar berkenaan?

Geethanjali: Gambar pertama, suami saya dan Guan Eng

Wan Shaharuddin: Suami anda pakai kasut atau stokin?

Geethanjali: Pakai stokin

Wan Shaharuddin: Guan Eng?

Geethanjali: Pakai stokin

Mendengar keterangan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng kemudian membantah dan mempersoalkan sama ada soalan yang dikemukakan pihak pendakwaan adalah relevan.

Gobind: Apa kaitan pakai stokin atau tidak?

Wan Shaharuddin: Sekiranya ada bantahan, kami ingin tahu bantahan dibuat mengikut Seksyen berapa?

Gobind: Akta Keterangan menyebut bahawa keterangan perlulah relevan.

Wan Shaharuddin: Saya ingin tahu Seksyen berapa?

Gobind: Baiklah, kalau nak saya sekolahkan, saya akan sekolahkan.

Melihat ketegangan itu, Hakim Azura Alwi mencelah dan meminta kedua-dua pihak bertenang dan meneruskan soal balas.

Geethanjali kemudian meneruskan keterangan dengan membacakan pernyataan saksinya dan memaklumkan mahkamah bahawa Guan Eng pernah hadir ke rumahnya.

"Pada ketika itu, saya sedang tidur dan suami mengejutkan saya lebih kurang jam 2 pagi.

"Suami minta saya bersiap memandangkan ada tetamu datang ke rumah dan dimaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang sudah sampai," katanya,

Katanya, selepas bersiap beliau turun ke bawah untuk berjumpa Guan Eng.

"Saya kemudian diperkenalkan kepada Guan Eng berserta seorang lagi individu iaitu Datuk Zarul (Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli).

"Untuk makluman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya sahkan bahawa Datuk Zarul mengambil semua gambar berkenaan menggunakan telefonnya," katanya.

Tambahnya, selepas mengambil gambar berkenaan, suaminya meminta beliau untuk beredar kerana perlu berbincang perkara sulit dengan Guan Eng dan Zarul.

"Seingat saya, Guan Eng hanya pernah datang sekali ke rumah saya, manakala Zarul pernah hadir beberapa kali atas urusan perniagaan dengan suami," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Gobind sama ada beliau biasa berjumpa dengan ahli politik dan mengambil gambar bersama mereka, Geethanjali menjawab: "Ya".

Pada perbicaraan itu, pendakwaan turut memanggil Pegawai Penyiasat SPRM, Saadon Abd Samad selaku saksi pendakwaan kedua untuk memberi keterangan.

Perbicaraan kes bersambung esok.

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, menolak permohonan Guan Eng supaya kesnya didengar di Mahkamah Tinggi.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR, Pulau Pinang pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley Cit, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 2:26 PM