Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penganjuran BN Youth Job Fair 2022 (BNYJF'22) tepat masanya bagi membantu belia termasuk graduan muda dan individu terjejas Covid-19 bangkit semula mencari pekerjaan.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, karnival kerjaya di bawah satu bumbung itu dianjurkan pihaknya bagi membantu mengatasi masalah pengangguran di negara ini yang direkodkan669,000 setakat Mac lalu.

"Pemuda BN mengambil inisiatif menganjurkan program ini bagi menjadi penghubung antara majikan dari kalangan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dan pencari kerja.

"Karnival ini bukan sahaja menawarkan pekerjaan, namun peluang kepada anak muda untuk mengetahui apakah bentuk bantuan dan sokongan ditawarkan agensi kerajaan dan swasta dalam konteks pembiayaan untukmereka yang berminat menjalankan perniagaan.

"Kita juga menyediakan bengkel latihan, kemahiran dan klinik untuk anak muda menyiapkan resume mereka, bahkan ceramah kerjaya daripada profesional yang mewakili pelbagai industri.

"Karnival kali menyaksikan majikan menawarkan pekerjaan dalam pelbagai industri, bimbingan kerjaya dan temuduga secara langsung diharapkan dapat membantu dan meningkatkan peluang kerjaya kepada anak muda di luar sana," katanya pada Majlis Perasmian BNYJF'22 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, pencari kerja, Nurazida Asyiqin Abd Aziz, 24, berkata, dia mengambil cuti hari ini bagi menghadiri karnival berkenaan untuk mencari pekerjaan sesuai.

"Sekarang saya sedang bekerja sebagai kakitangan kontrak di sebuah syarikat, jadi apabila saya mengetahui karnival ini melalui Facebook, saya tertarik pergi kerana mudah semuanya di bawah satu bumbung.

"Saya mahu mencuba nasib bagi mendapatkan pekerjaan tetap dalam bidang perbankan yang menawarkan tawaran lebih baik dan menjamin masa depan," katanya.

BNYJF'22 yang dianjurkan Sekretariat Ekonomi Pemuda Umno dan Pemuda BN, berlangsung tiga hari bermula hari ini menawarkan sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan daripada lebih 300 syarikat dan majikan seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 3:52 PM
Ahmad Zahid bersama Dr Asyraf, melakukan gimik perasmian ketika majlis pembukaan BNYouth Job Fair yang berlansung dari 24 hingga 26 Jun di Dewan Tun Razak 3 dan 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ahmad Zahid bersama Dr Asyraf, melakukan gimik perasmian ketika majlis pembukaan BNYouth Job Fair yang berlansung dari 24 hingga 26 Jun di Dewan Tun Razak 3 dan 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI