SABRI (kiri sekali) meninjau tapak Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Sukan Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
SABRI (kiri sekali) meninjau tapak Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Sukan Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Lebih 2,000 peluang pekerjaan disediakan pada Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri Melaka pada 10 April depan.

Lebih 40 syarikat swasta yang bakal mengambil bahagian dalam karnival itu menyediakan peluang pekerjaan, terutama dalam sektor pembuatan barangan dan perkhidmatan serta peruncitan.

Ketua Eksekutif (CEO) Institut Tun Perak (ITP), Datuk Dr Sabri Mohd Sharif berkata, karnival anjuran ITP dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu turut menerima pengesahan penyertaan pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"Karnival yang kami anjurkan pada Ogos tahun lalu disertai kira-kira 5,000 belia dengan 1,073 berjaya mendapat pekerjaan, selain 800 yang menjalani temu duga untuk mendapatkan pekerjaan.

"Kali ini kami menjangka lebih 2,000 peluang pekerjaan mampu disediakan untuk belia," katanya selepas melawat tapak karnival berkenaan di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain mencuba mendapatkan pekerjaan, ada antara belia yang menghadiri karnival itu bertujuan mencari peluang melanjutkan pengajian.

Menurutnya, mereka turut menjemput pelakon yang berjaya dalam bidang perniagaan, Datuk Rosyam Nor bagi menanam semangat dan cita-cita dalam jiwa belia bagi memulakan langkah dalam bidang perniagaan.

"Selain itu, kami juga menjemput usahawan berjaya dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) untuk memberikan bimbingan mengenai perniagaan.

"Karnival itu juga menyediakan peluang untuk belia mengikuti sesi kaunseling mengenai kerjaya yang sesuai untuk mereka, selain peluang mengikuti kursus keusahawanan dan keusahawanan digital, katanya.

Bagi melengkapkan karnival itu, penganjur akan turut menyediakan program yang sama di daerah Melaka Tengah dan Jasin menjelang pertengahan dan hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:29 PM