LUQMAN ketika sidang media Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gego Bera sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15. FOTO Hairul Anuar Rahim
LUQMAN ketika sidang media Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gego Bera sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan menanti warga Bera sempena Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gego Bera, esok.

Karnival yang berlangsung di Dewan Konvensyen Bera, di sini, yang dijangka dihadiri lebih 3,000 warga tempatan bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi Miat Quadra E-sport, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal berkata, pelbagai syarikat dan agensi kerajaan bakal menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya kepada anak muda Bera.

Menurutnya, warga Bera yang masih mencari pekerjaan seharusnya tidak melepaskan peluang keemasan ini .

"Karnival ini mendapat kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan untuk warga Bera.

"Peluang keemasan ini perlu dimanfaatkan anak muda Bera yang masih mencari pekerjaan dan berpeluang menimba pengalaman dalam pelbagai sektor pekerjaan," katanya dalam sidang media, di sini.

Program bermula 8 pagi hingga 11 malam itu juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal, kenderaan peramu saji dan gerai jualan keluarga peladang termasuk konsert artis terkemuka.

Menurutnya, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan termasuk kejohanan e-sukan dengan 38 kumpulan sudah mengesahkan penyertaan.

Katanya, ia termasuk pasukan e-sukan negara, Team Haq Esports Club yang muncul juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) MY musim ke-10.

"e-sukan di Malaysia kini bukan lagi sekadar hobi, malah menjadi kerjaya sukan sehingga melahirkan ramai bakat muda yang berjaya di peringkat antarabangsa.

"Kami mahu anak muda memanfaatkan minat mereka menjadi kerjaya seterusnya mampu menjana pendapatan lumayan," katanya.

Acara yang julung kali dianjurkan di Parlimen Bera ini menawarkan hadiah berjumlah RM25,000, cabutan bertuah bernilai RM3,000 selain peluang bagi memenangi telefon pintar.

Sementara itu, bagi Puteri Nur Syazwana Dzulfikar Adzwa, 18, karnival ini boleh menjadi platform buat warga muda Bera untuk mencari pekerjaan yang sesuai seperti dirinya.

Katanya, keprihatinan kerajaan khususnya memastikan anak muda mendapat peluang pekerjaan perlu digunakan sebaik mungkin khususnya untuk penduduk kawasan luar bandar.

"Saya sedang mencari kerja dan tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba nasib menghadiri temuduga," katanya.

Mohd Fikri Mohd Fadli, 20, juga menggesa anak muda yang meminati e-sukan agar menggunakan peluang ini untuk bertemu dan menimba pengalaman dari pasukan terkemuka Team Haq Esports Club.

"Kini e-sukan bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi berpeluang menjana pendapatan lumayan sebagai kerjaya masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 1:08 PM