Orang ramai mendapatkan maklumat di kaunter Prasarana pada Karnival Kerjaya Khas sempena ulang tahun UMNO ke-71 di Stadium Bukit Jalil. FOTO Rosdan Wahid
Orang ramai mendapatkan maklumat di kaunter Prasarana pada Karnival Kerjaya Khas sempena ulang tahun UMNO ke-71 di Stadium Bukit Jalil. FOTO Rosdan Wahid
Nurul Huda Kosnon


KARNIVAL Kerjaya Khas sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula hari ini, menjadi tumpuan golongan muda terutama graduan lepasan ijazah mencari peluang pekerjaan sesuai.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan mereka tiba seawal 9 pagi untuk melihat peluang disediakan pada karnival yang berlangsung selama dua hari itu.

Bekas penuntut Jurusan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Nur Atirah Mat Zain, 25, berkata, dia bersemangat mahu mendapatkan pekerjaan selepas belajar selama tiga tahun di peringkat diploma dan tiga tahun di peringkat ijazah.

"Jika diberi peluang saya akan memberikan yang terbaik kerana mahu membantu meringankan beban bapa, Mat Zain Hamzah, 58, dan ibu, Sapingah Alias, 54.

"Bapa bekerja sendiri manakala ibu pula suri rumah menimbulkan semangat untuk saya membantu mereka.

"Alhamdulillah, saya terpilih dan diberi peluang bekerja di sebuah syarikat selepas melepasi saringan kelayakan dan temu duga di karnival ini," katanya.

Dia berkata, pada awalnya dia hanya mahu mencuba nasib selepas dimaklumkan ibu bapanya mengenai karnival itu.

"Karnival ini membuka peluang berikutan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan yang semakin meningkat.

“Tapi, saya yakin rezeki ada di mana-mana asalkan kita rajin berusaha. Karnival ini sebagai satu inisiatif terbaik membantu golongan muda seperti saya untuk mendapatkan pekerjaan," katanya.

Sementara itu, bekas penuntut Management & Science University (MSU), Atiqah Abdul Razak, 22, menganggap karnival itu sebagai pendekatan terbaik membantu golongan muda.

"Bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan pada masa ini dan karnival ini adalah langkah terbaik membantu golongan muda seperti saya.

"Menerusi karnival ini, saya mendapat lebih banyak maklumat terutama mengenai pekerjaan yang disediakan di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 9:46 PM