Hazira Ahmad Zaidi


Tanah Merah: Setia hingga akhir hayat.

Itu janji Zuraida Abdullah, 40, yang setia menjaga suaminya, Mohd Rafi Ramli, 52, yang memerlukan sepenuh perhatian dan penjagaan selepas terbabit dalam kemalangan sejak lebih dua tahun lalu.

Zuraida berkata, akibat kemalangan, suaminya mengalami pendarahan di kepala dan perlu menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala sebelah kanan.

Ia dilakukan bagi membuang darah beku. Suaminya menerima rawatan lebih sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan Hospital Tanah Merah sebelum dibawa pulang.

"Kesan kemalangan itu turut menjejaskan penglihatan suami apabila kedua-dua matanya kabur. Dia hanya dapat mengecam pelawat berdasarkan suara dicamnya.

"Suami juga lumpuh separas pinggang ke bawah. Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat keluar bekerja untuk mencari rezeki kerana perlu menguruskan suami seperti memberinya makan selain menukar lampin pakai buang," katanya ditemui di kediamannya di Kampung Sat Tengah di sini.

Zuraida yang turut mengalami masalah pendengaran berkata, ada masanya dia juga buntu memikirkan nasib suami dan hanya mampu terus berada di sisi lelaki berkenaan selain memberi kata-kata semangat.

"Saya akan tetap setia menjaga suami kerana kami sudah banyak melalui kehidupan susah senang bersama," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi anaknya, Norshahilla Mohd Rafi di talian 013-7165687.

Pada masa sama, menurutnya, setiap bulan dia perlu menyediakan RM200 untuk kos lampin pakai buang memandangkan sukar untuknya mengangkat suami ke bilik air.

"Bagi membeli keperluan suami, ada ketikanya saya berhutang dengan adik-beradik malah jika terdesak, saya berhutang dengan kedai runcit untuk membeli barangan keperluan harian.

"Namun, dalam keadaan dihimpit masalah kewangan, saya bersyukur kerana empat anak yang masih bersekolah masing-masing mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 12:54 PM
ZURAIDA setia menjaga suaminya, Mohd Rafi yang memerlukan sepenuh perhatian dan penjagaan selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ZURAIDA setia menjaga suaminya, Mohd Rafi yang memerlukan sepenuh perhatian dan penjagaan selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi