Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Seorang isteri yang menghidap sakit kanser usus terpaksa mengetepikan penderitaan ditanggung demi menguruskan suaminya yang turut sakit.

Norhayati Harun, 43, berkata suaminya, Mohd Husaini Husin, 42, menghidap penyakit kencing manis hingga menyebabkan kaki kiri terpaksa dipotong pada 31 Mei lalu.

Menurutnya, dia terpaksa menguruskan suaminya yang tidak lagi mampu berjalan selepas kaki suaminya itu dipotong pada paras lutut.

"Saya pula disahkan menghidap penyakit kanser usus tahap empat enam bulan lalu dan menjalani pembedahan memotong usus akhir tahun lalu.

"Malah, saya diuji apabila kesihatan suami yang menghidap penyakit kencing manis sejak 18 tahun lalu semakin teruk.

"Kini saya bukan sahaja perlu bertarung dengan penyakit kanser usus malah dalam masa sama perlu menguruskan suaminya," katanya yang ditemui di Kampung Gong Gemia, di sini, semalam.

Norhayati berkata, sebelum ini mereka bergantung sepenuhnya kepada suami bagi mencari sumber pendapatan untuk keluarganya.

Menurutnya, suaminya hanya mengambil upah membaikpulih barangan elektrik dengan pendapatan tidak menentu.

"Kini dia tidak dapat bekerja disebabkan masalah kesihatannya. Lebih menyedihkan apabila kami kehilangan anak kedua, Muhammad Harraz Fahiem Mohd Husaini, 16, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua minggu lalu.

"Saya terpaksa bergantung harap sepenuhnya kepada anak sulung yang juga orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Hairie Fitri Mohd Husaini, 20, dalam membantu menguruskan suami dan mencari duit belanja.

"Anak (Muhammad Hairie) mengambil upah dengan membuat air di kedai bapa saudara selain menjaga kuda di Lembah Bidong, Setiu dengan meraih pendapatan RM400 sebulan," katanya.

Norhayati berkata, dia kini buntu memikirkan sumber kewangan untuk membeli barangan seperti lampin pakai buang, susu dan ubatan selepas suami tidak lagi bekerja.

"Kami memerlukan RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan membeli susu khas, lampin pakai buang dan ubat-ubatan suami manakala saya memerlukan karung plastik khas di perut.

"Selain itu, saya juga memerlukan katil dan kerusi roda bagi memudahkan tugas mengurus suaminya ke bilik air dan bergerak dalam rumah," katanya yang mempunyai anak bongsu, Maryam Hana Fatieha Mohd Husaini berusia tujuh tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN 111002900068412 atas nama Norhayati Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 1:16 PM
Norhayati Harun, 43, menguruskan suaminya, Mohd Husaini Husin, 42, yang kakinya dipotong akibat kencing manis di Kampung Gong Gemia, di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Norhayati Harun, 43, menguruskan suaminya, Mohd Husaini Husin, 42, yang kakinya dipotong akibat kencing manis di Kampung Gong Gemia, di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK