Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah dugaan dialami seorang suri rumah apabila suami yang menjadi tulang belakang menyara keluarga kini terlantar akibat penyakit kencing manis saraf dan buah pinggang tahap empat sejak Januari lalu.

Rosni Hassan, 57, berkata, walaupun diri sendiri mengalami masalah paru-paru sejak lima tahun lalu selain tidak boleh penat namun selagi terdaya dia akan menguruskan segala keperluan suaminya, Md Burhan Ab Rani, 52, yang memerlukan perhatian.

"Setiap hari tugas menguruskan suami seperti mengelap tubuh badan selain mencuci luka dan menukar lampin pakai buang perlu dilakukan bersendirian kerana kami tidak dikurniakan zuriat.

"Sejujurnya, ada masa saya tidak dapat menahan air mata mengenangkan nasib kami selain risau dengan keadaan suami.

"Bagaimanapun, saya menganggap kesusahan yang dihadapi kami sebagai ujian dan dalam masa sama, tidak pernah putus berdoa supaya suami kembali sihat," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Guchil di sini.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan turut menyampaikan wang zakat bagi meringankan beban yang ditanggung.

Menceritakan kembali keadaan suaminya, Rosni berkata, suaminya itu sudah lama menghidap penyakit kencing manis namun pada Januari lalu, kaki kanannya mengalami ruam.

"Selama beberapa hari suami berkeadaan begitu dan pada masa sama seluruh tubuhnya menjadi kuning disebabkan kesukaran membuang air besar dan kecil.

"Bimbang dengan keadaan itu, kami mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra dan hasil pemeriksaan mengesahkan suami saya menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan juga kencing manis saraf.

"Hampir sebulan saya terpaksa 'berkampung' di hospital sebelum suami dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

ROSNI setia di sisi suaminya, Md Burhan yang menghidap penyakit kencing manis saraf dan buah pinggang tahap empat ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Guchil. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ROSNI setia di sisi suaminya, Md Burhan yang menghidap penyakit kencing manis saraf dan buah pinggang tahap empat ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Guchil. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Menurutnya, mereka hilang punca pendapatan selepas suami yang sebelum ini bekerja di kilang papan terlantar dan kini hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Wang bantuan bulanan yang diperoleh ini hanya cukup untuk membeli keperluan suami seperti lampin pakai buang dan juga kelengkapan mencuci luka.

"Setiap kali menukar lampin pakai buang, saya perlu membersihkan luka di bahagian dubur suami bagi membuang tisu mati untuk mempercepatkan proses pemulihan," katanya.

Katanya, disebabkan kekangan kewangan dan juga masalah pengangkutan untuk menghadiri janji temu dengan pakar, suaminya mengambil keputusan untuk memberhentikan rawatan susulan di hospital sejak lima bulan lalu.

"Setiap kali terpandang raut wajah suami, hati ini sering berbisik agar terus kuat untuk suami dan perlu reda dengan ujian yang diberikan Allah SWT serta tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya akan menjaganya hingga akhir hayat.

"Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kami hanya mengharapkan simpati saudara-mara dan penduduk setempat bagi meringankan beban ditanggung dan mengalas perut dengan apa adanya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 03-072-02-220418-2 atas nama Md Burhan Ab Rani atau boleh menghubunginya di talian 010-8053235.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 7:15 AM