Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pengorbanan seorang isteri menjaga suami yang terlantar dalam keadaan separuh sedar akibat strok otak sejak empat tahun lalu tiada galang gantinya.

Rohayati Ismail, 50, berkata dia terpaksa menguruskan suaminya Md Mustapha Mat, 60, termasuk menukar lampin pakai buang dan memberi minum susu tiga kali sehari kerana tidak boleh melakukannya sendiri.

Katanya, suaminya sudah dua kali diserang angin ahmar akibat komplikasi penyakit darah tinggi, beberapa tahun lalu tetapi masih lagi boleh menguruskan diri.

"Bagaimanapun pada 2017, suami secara tiba-tiba terjatuh dan mengalami strok menyebabkan dia kini terlantar dan berada dalam keadaan separuh sedar. Hanya keajaiban yang diharapkan supaya dia kembali sembuh seperti sedia kala.

"Sejujurnya setiap kali menatap raut wajahnya, air mata gagal disekat dan saya sentiasa berdoa agar diberi kekuatan untuk terus cekal dan tabah dalam menempuhi hari yang mendatang," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Bechah Kura, Peringat, di sini.

ROHAYATI setia menjaga suaminya, Md Mustapha yang berada dalam keadaan separuh sedar selepas mengalami strok otak sejak empat tahun lalu.FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ROHAYATI setia menjaga suaminya, Md Mustapha yang berada dalam keadaan separuh sedar selepas mengalami strok otak sejak empat tahun lalu.FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Terdahulu, Rohayati menerima kunjungan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan, Mahadi Awang yang menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Ibu kepada tiga anak berusia 19 hingga 29 tahun itu berkata, dia perlu membelanjakan RM1,000 sebulan untuk membeli keperluan suaminya termasuk lampin pakai buang dan susu berharga RM93 setin yang mampu bertahan untuk tiga hari sahaja.

"Mujurlah suami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung dan dalam masa sama, saya juga bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan RM30 sehari.

"Anak-anak ada juga menghulurkan belanja, namun sekadar yang termampu kerana mereka juga bukan dalam kalangan orang senang selain mempunyai tanggungan serta tanggungjawab kepada keluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Rohayati di talian 019-9660823.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 5:52 PM