GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati jika menerima e-mel yang menggunakan profil (nama dan gambar) pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan.

SKMM dalam kenyataan berkata, sebarang komunikasi yang diterima luar daripada kebiasaan perlulah disemak dan ditentukan kesahihannya dan tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

"Ini bertujuan mengelakkan daripada menjadi mangsa kepada aktiviti berniat jahat dan berunsur penipuan. "Penyebaran kandungan palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya hari ini.

Menurutnya, peringatan itu dikeluarkan hasil daripada aduan diterima daripada orang ramai yang mana terdapat e-mel yang tidak ditentusahkan ditangkap layar dan disebarkan melalui aplikasi pemesejan dalam talian.

"Orang ramai diingatkan untuk membuat semakan dengan pihak yang terbabit (pihak yang profil atau identitinya digunakan) dan jangan sebarkan sebarang kandungan yang mencurigakan bagi mengelak kekeliruan umum.

"Laporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya dipastikan kandungan e-mel itu tidak benar atau palsu, bagi memudahkan tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Kenyataan itu berkata, sekiranya menerima e-mel yang mencurigakan, sertakan 'email header' semasa mengemukakan laporan kepada polis.

Orang ramai boleh membantu memberhentikan penyebaran e-mel dengan melaporkan penyalahgunaan e-mel kepada penyedia perkhidmatan e-mel seperti Gmail atau Yahoo! Mail di pautan seperti berikut:

Gmail (Avoid and report phishing emails): https://support.google.com/mail/answer/8253

Yahoo! Mail (Report abuse or spam on Yahoo): https://my.help.yahoo.com/kb/SLN26401.html

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 10:53 AM