SHAHROL Azral di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
SHAHROL Azral di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa semua keputusan besar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disampaikan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Shahrol Azral berkata, pengalamannya dari 2009 hingga 2013 menyaksikan keputusan besar membabitkan perkara yang dinyatakan dalam Artikel 117, Memorandum Pertubuhan 1MDB disampaikan melalui Jho Low.

Menurutnya, Jho Low akan menghantar e-mel kepadanya dokumen nota maklumat dan pelan tindakan yang mengandungi fakta mengenai TIA, PetroSaudi International, 1MDB serta Aabar/IPIC.

“Jika ada keperluan, kami akan membuat perjumpaan di rumah Jho Low. Beliau sentiasa memberitahu bahawa tindakan itu adalah arahan yang sudah mendapat ‘restu’ daripada Datuk Seri Najib Razak. Ia adalah mandat untuk dilaksanakan oleh kami yang berada dalam pasukan kerja ini.

“Gerak kerja ini adalah berlapis-lapis dan kami faham secara ‘tahu apa yang perlu diketahui sahaja’ (need to know basis) peranan pasukan lain. Gerak kerja secara berlapis dan sulit ini dikenali antara kami di peringkat pelaksana sebagai ‘work in silo.’ Ini adalah frasa yang digunakan oleh Jho Low sendiri kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, bekerja dalam lapisan inilah yang diamalkan dalam urusan harian mereka dari awal lagi.

“Saya tahu Jho Low juga ada memberikan dokumen nota maklumat atau pelan tindakan yang sama kepada Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Saya mengesyaki Jho Low juga ada memberikan nota maklumat kepada pegawai 1MDB yang lain selepas mengetahui mereka melakukannya tanpa pengetahuan saya. Mereka inilah yang berada dalam pasukan gerak kerja sulit ini,” katanya.

Saksi ke-sembilan itu berkata, sebarang arahan atau tindakan daripada Jho Low dibuat dengan persetujuan Najib.

“Isi kandungan nota maklumat dan pelan tindakan ini membabitkan nama dan keputusan yang saya tidak boleh akses dan tidak mampu saya gariskan kerana hanya Jho Low yang boleh berbuat demikan.

“Yang nyata, semua nota maklumat dan pelan tindakan yang disampaikan kepada saya adalah 100 peratus konsisten dengan tindakan dan keputusan Najib selepas itu. Oleh itu, saya yakin Jho Low memainkan peranan sebagai perancang bagi pihak Najib bagi melaksanakan semua rancangan mereka di 1MDB,” katanya.

Berhubung komunikasi dengan Jho Low, Shahrol Azral berkata, selain berjumpa mereka juga menggunakan e-mel dan perbualan pesanan ringkas Blackberry.

“Perhubungan e-mel saya dengan Jho Low dilakukan menggunakan e-mel persendirian manakala Jho Low menggunakan e-mel [email protected].

“Penggunaan e-mel persendirian ini adalah arahan Jho Low sendiri kerana menurut beliau, kandungan e-mel adalah sulit dan hanya untuk kegunaan kami sahaja. Saya hanya akur terhadap permintaan ini kerana percaya ketika itu ia adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan Najib,” katanya.

Berhubung kuasa Najib dalam TIA dan 1MDB, Shahrol Azral berkata, sepanjang pengetahuannya, bekas Perdana Menteri itu adalah pembuat keputusan tertinggi atau kuasa mutlak terutama membabitkan pelaburan yang besar, kewangan dan dasar negara.

“Ini bertepatan dengan kehendak Artikel 117 yang memutuskan bahawa sebarang tindakan itu perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri.

“Kami, ahli lembaga pengarah masih lagi tertakluk untuk sentiasa melaporkan, meminta pandangan dan mandat daripada Perdana Menteri sebelum membuat sebarang keputusan besar,” katanya.

Bagi keputusan yang perlu diambil tindakan segera, saksi itu berkata, beliau akan mendapatkan pandangan Jho Low supaya beliau boleh mendapatkan nasihat daripada Najib untuk tindakan lanjut.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:56 PM