Penyokong Harimau Malaya.
Penyokong Harimau Malaya.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, sempena perlawanan persahabatan antarabangsa bola sepak antara Malaysia dan Hong Kong, malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya mahu memastikan tahap keselamatan stadium dengan kapasiti penonton seramai 85,000 orang terjamin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Penugasan anggota polis membabitkan kawalan lalu lintas dan keselamatan akan bermula 5.30 petang ini.

"Kita juga akan mengetatkan kawalan keselamatan pada perlawanan antarabangsa Tier 1 2022 dan Kelayakan AFC Asian China Cup 2023 yang dijadualkan bermula 8 Jun ini di stadium sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan sebelum dan selepas memasuki stadium.

"Petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton memandangkan mereka tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium.

"Ini termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, objek tajam seperti besi dan kayu, senjata seperti parang, minuman keras, payung serta tongkat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penonton melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang.

"Kami juga akan memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium serta yang berada di sekitar lokasi perlawanan.

"Untuk kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan, orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Elakkan melalui jalan-jalan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak itu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Katanya, orang ramai diminta mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas.

"Penonton juga dinasihatkan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan sesak serta menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sepanjang tempoh perlawanan itu," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-92050222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 12:56 PM