ASISTEN Komisioner Zam Halim Jamaluddin. FOTO Saifullizan Tamadi
ASISTEN Komisioner Zam Halim Jamaluddin. FOTO Saifullizan Tamadi
Suharmin Yusuf


Cheras: Seramai 1,400 anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, bagi memantau keselamatan pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung esok.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, anggota dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras akan bekerjasama bersama IPD berhampiran dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan mengelakkan sebarang kekecohan.

"Perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC dijangka dihadiri 85,000 penyokong kedua-dua pasukan.

"Anggota penguat kuasa yang bertugas akan melakukan pemeriksaan di setiap pintu masuk bagi mengelakkan penonton membawa masuk barang larangan.

"Antara barangan berkenaan termasuk mercun, suar, topi keledar, laser pen, sebarang objek tajam, minuman keras, payung, power bank, botol air, pemetik api, rokok dan rokok elektrik dan pembesar suara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.

Katanya, PDRM mengingatkan kumpulan penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan sebarang provokasi.

Dalam pada itu, Zam Halim berkata, turut berlangsung di perkarangan SNBJ adalah 'Program Setahun Bersama Madani' bermula esok hingga 10 Disember.

"Program ini dilaksanakan di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Anggota PDRM dari IPD Cheras akan terbabit dalam secara aktif bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan pengawasan sepanjang program berlangsung selama tiga hari," katanya.

Zam Halim berkata, seramai 100 anggota dari IPD Cheras akan ditempatkan di lokasi membabitkan dua syif.

Katanya, program berkenaan dijangka dihadiri 30,000 pengunjung setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:25 PM