MAZLAN pada sidang media keselamatan final  Piala FA  di ibu pejabat Polis Kuala Lumpur. - FOTO Hafiz Sohaimi
MAZLAN pada sidang media keselamatan final Piala FA di ibu pejabat Polis Kuala Lumpur. - FOTO Hafiz Sohaimi
Firdaus Hashim


SERAMAI 1375 pegawai polis bakal ditempatkan pada hari perlawanan akhir Piala FA antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dianggarkan seramai 85,000 penonton akan hadir, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu seramai 1165 ditugaskan menjaga keselamatan sementara 210 lagi mengawal trafik pada hari perlawanan.

Menurutnya, demi memastikan kelancaran hari perlawanan, beliau menjelaskan penugasan kawalan lalu lintas bermula jam 8 pagi sementara bagi pihak keselamatan bermula jam 3 petang.

“Polis Kuala Lumpur akan cuba memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium. Jdi sebagai nasihat, gunakan pengangkutan awam (LRT) ke Stadium Bukit Jalil kerana parkir agak terhad.

“Terdapat sebanyak 3500 parkir sahaja disediakan, sekiranya lot parkir telah penuh, tindakan penutupan atau lencongan jalan akan dibuat.“

“Jangan sama sekali meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar Bukit Jalil sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman atau tunda kerana menghalang lalulintas.

“Kepada sesiapa yang tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak, elakkan gunakan jalan sekitar Bukit Jalil bagi mengelakkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Bas bagi penyokong Perak akan ditempatkan di Parkir F sementara bas penyokong Kedah di Parkir B (sebelah kiri laluan) manakala kenderaan untuk orang awam ialah di bahagian A, B , D dan E.

Dalam masa sama, Mazlan menjelaskan pemeriksaan akan dibuat sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium terhadap penonton dengan mereka ditegah membawa barang-barang terlarang seperti mercun, bunga api, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, objek tajam, senjata. minuman keras, payung dan tongkat.

“Polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada penyokong dan penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Penonton dinasihatkan menjaga tatatusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga cetuskan kekacauan sewaktu mahu pun selepas perlawanan tersebut.

“Kami akan menempatkan balai polis bergerak di hadapan stadium sekiranya penonton mahu laporkan sebarang kejadian kepada pihak polis, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:22 PM