Zam Halim Jamaluddin
Zam Halim Jamaluddin
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Polis menjangkakan 45,000 peminat bola akan hadir menyaksikan perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2023 antara pasukan Malaysia menentang Tajikistan, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini, malam esok.

Sehubungan itu, pihak polis menjalankan persiapan rapi membabitkan pelbagai jabatan dan unit Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata semua pintu masuk stadium akan dibuka pada jam 6 petang dan perlawanan dijadualkan bermula pada jam 9 malam

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki perkarangan stadium," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, PDRM tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium.

Zam Halim berkata penyokong perlu tahu senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium.

"Mercun, bunga api, suar (flare), topi keledar, pen laser, objek tajam seperti kayu dan besi, senjata tajam dan merbahaya, minuman keras dan tongkat adalah bahan terlarang.

"Selain itu, power bank, botol air, pemetik api, mancis, rokok, rokok elektronik, vape dan bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan juga adalah bahan terlarang," katanya.

Dalam pada itu, katanya untuk memastikan kelancaran lalu lintas, penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke SNBJ.

"Orang ramai yang tidak ke perlawanan itu diminta mengelak menggunakan jalan di sekitar stadium bagi mengelak berlaku kesesakan. Patuhi arahan anggota polis yang bertugas.

"Pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium bagi mengelak tindakan saman atau kenderaan ditunda," katanya.

Katanya, pengguna jalan raya dinasihati mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur.

"Kita juga mohon semua pihak menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 9:22 PM