Rangka manusia bersama sebuah motosikal ditemui dekat sebuah ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelemah, Gemas, di sini, petang tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Rangka manusia bersama sebuah motosikal ditemui dekat sebuah ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelemah, Gemas, di sini, petang tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Hasbi


Tampin: Rangka manusia bersama sebuah motosikal ditemui dekat sebuah ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelemah, Gemas, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, turut dijumpai tali pinggang dan topi keledar.

"Anggota menerima panggilan dari orang awam pada jam 2.10 petang memaklumkan menemui sebuah motosikal jenis Yamaha LC biru dan tengkorak dipercayai manusia tidak jauh dari motosikal yang dijumpai di ladang kelapa sawit.

"Berdasarkan maklumat itu, kami ke lokasi kejadian dan menjumpai rangka manusia daripada pinggul hingga kaki di dalam parit kering dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 warna biru.

"Turut dijumpai topi keledar dan tali pinggang serta tengkorak manusia. Jarak dari rangka manusia dengan motosikal lebih kurang 15 meter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rangka tulang belakang sepanjang 10 meter serta tengkorak manusia lebih kurang 80 meter dari motosikal.

"Rangka si mati dihantar ke Bilik Mayat Jabatan Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat dan ujian DNA.

"Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 9:33 PM