Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Hasrat seorang doktor berusia 30 tahun meminjam RM200,000 membawa padah selepas wang ingin dipinjam tidak diperoleh sebaliknya kerugian RM72 ,165 .74 .

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa bertugas di sebuah hospital di bandar raya berkenaan tertarik dengan tawaran pinjaman berjumlah RM200,000 dan berhubung dengan suspek menerusi panggilan telefon.

Katanya, bagaimanapun sebelum pinjaman diluluskan mangsa diarah membuat pelbagai bayaran tertentu termasuk duti stem dan wang proses.

"Akibat terlalu percaya mangsa membuat tujuh kali transaksi berjumlah RM72, 165. 74 secara berperingkat ke tiga akuan berbeza diberi suspek.

"Selepas membuat bayaran suspek masih meminta wang tetapi mangsa enggan berbuat demikian Sehingga kini mangsa tidak memperoleh wang pinjaman dijanjikan," katanya.

Mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 25 Februari, justeru kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Hasil semakan pihak polis melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule mendapati nombor talian digunakan oleh suspek terbabit dengan sembilan laporan polis menggunakan modus operandi sama.

Beliau berkata, bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku, orang ramai dinasihatkan membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen.

Selain itu, katanya, orang ramai boleh membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi 'CHECK SCAMMERS CCID' di Google PlayStore.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:18 PM