SITI tewas mudah di tangan Busanan. FOTO BAM
SITI tewas mudah di tangan Busanan. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perjalanan skuad Piala Uber negara di Chengdu, China terhenti di peringkat kumpulan apabila tewas kali kedua dan seperti diduga kali ini mereka menjadi mangsa belasahan pasukan Thailand apabila tewas 0-5.

Biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan berdepan Australia dalam aksi Kumpulan B, Rabu ini, kemenangan tidak membawa sebarang makna selepas skuad negara mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Semalam skuad Piala Uber yang diketuai oTeoh Mei Xing tewas kepada Taiwan 1-4.

Dalam aksi berdepan Thailand, K Letshanaa diberi kepercayaan selaku perseorangan pertama gagal menghalang kebangkitan Supanida Katethong apabila tewas 17-21, 6-21.

Rentak kemenangan yang diraih ketika beraksi menentang Taiwan gagal diteruskan oleh beregu negara, Go Pei Kee-Mei Xing yang turut tunduk kepada Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 10-21, 14-21 dalam tempoh 33 minit.

Hasrat perseorangan kedua negara, Wong Ling Ching untuk cuba meraih mata tidak kesampaian apabila dikecewakan oleh Pornpawee Chochuwong 11-21, 15-21.

Turun melengkapkan perlawanan Chan Wen Tse-Tan Zhing Yi yang tewas di tangan Laksika Kanlaha -Phataimas Muenwong 12-21, 8-21 sebelum Siti Nurshuhaini Azman turut tewas mudah 5-21, 8-21 dalam tempoh 27 minit kepada Busanan Ongbamrungphan.

Skuad negara selepas ini akan turun melengkapkan jadual perlawanan menentang Australia di Gymnasium Pusat Sukan Hi-Tech Zone.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 10:06 PM