GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

HASRAT seorang peniaga membuat pinjaman pada kadar faedah rendah memakan diri selepas mendakwa kerugian hampir RM10,000 akibat diperdayakan syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mangsa berusia 33 tahun mendakwa dihubungi seorang lelaki pada 3.20 petang Isnin lalu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan bank.

"Suspek menawarkan pinjaman peribadi RM200,000 dengan kadar faedah sebanyak 3.15 peratus menyebabkan mangsa bersetuju membuat pinjaman itu dan memberikan maklumat peribadi termasuk perihal akaun banknya.

"Mangsa dihubungi suspek lelaki kedua pada keesokan harinya memaklumkan pinjaman itu diluluskan dan dia perlu membuat bayaran proses dan duti setem sebelum boleh menerima wang itu," katanya.

Mohd Yusri berkata, mangsa mendakwa membuat tiga transaksi pemindahan wang ke akaun berbeza diberikan suspek pada Selasa dan Rabu lalu yang berjumlah RM9,260 dan hanya menyedari ditipu selepas menghubungi rakannya yang bekerja di bank.

Beliau berkata, rakan mangsa memaklumkan pinjaman seperti itu tidak ditawarkan bank selain peminjam tidak akan diminta untuk membuat bayaran ke dalam akaun peribadi individu seperti dialami mangsa.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai tawaran pinjaman wang menerusi panggilan telefon atau media sosial, sebaliknya terus berurusan dengan pihak bank bagi memastikan kesahihan pinjaman itu.

"Orang awam tidak seharusnya mendedahkan maklumat peribadi mereka khususnya berkaitan perbankan kepada orang ketiga selain jangan mudah membuat pindahan wang walaupun dikatakan sebagai cagaran pinjaman.

"Jika mereka meragui tawaran pinjaman diterima, semakan nombor telefon atau nombor akaun boleh dilakukan di portal khas http://ccid.rmp.gov.my/semakmule," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 6:57 PM