KPDN Perlis melaksanakan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 selama 15 har baru-baru ini. FOTO Bernama
KPDN Perlis melaksanakan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 selama 15 har baru-baru ini. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 8,095 pemeriksaan dilakukan ke atas premis perniagaan di seluruh negara sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 berkuat kuasa 5 hingga 19 April lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, jumlah itu membabitkan 144 premis borong dan pengeluar serta 7,951 premis runcit.

"Terdapat 48 kes dikenakan undang-undang atas kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu selain satu kes tiada tanda harga.

"Tiada kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikesan sepanjang pelaksanaan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan sepanjang pelaksanaan skim terbabit.

"Majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim berkenaan.

"Kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan skim ini.

"Berdasarkan pemantauan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 berjalan dengan baik dan lancar," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu adalah langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup ketika sambutan Aidilfitri.

"Tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama 15 hari dan berkuat kuasa pada lima hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.

"Sebanyak 22 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya diwartakan bagi pelaksanaan skim berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 9:33 PM