FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerap bertukar pemilik kedai runcit sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi mengaburi kegiatan menjual beras seludup dilakukan.

Itu antara taktik kalangan pekedai atau peruncit haram warga asing sekitar Lembah Klang yang dikesan aktif menjual beras seludup sejak 10 tahun lalu.

Malah mereka dikesan sengaja meletakkan beras seludup dijual bersama paket atau guni beras tempatan di dalam premis bagi mengaburi jenayah dilakukan.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kawal Selia Padi Dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) melakukan pemeriksaan dan menahan lapan peruncit tadi.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, pihaknya melakukan operasi Ops Patuh 2.0 selepas mendapat maklumat awam berhubung kegiatan haram dilakukan peniaga terbabit.

"Kami menerima aduan berhubung aktiviti peruncit tidak berlesen yang menjual beras di sekitar Pinggiran Putrajaya dan ibu kota.

"Hasil siasatan mendapati, peruncit warga asing ini akan menukar pemilik premis setiap dua tahun bagi mengelakkan diambil tindakan.

"Selain itu mereka juga menjual beras seludup yang diletakkan bersama beras tempatan. Ini salah dan tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, hasil operasi itu, pihaknya merampas 8.3 tan metrik beras dianggarkan bernilai RM34,000.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Pelesenan Pemborong dan Peruncit 1996 (Akta 522).

Azman berkata, pihaknya akan terus memantau isu berkenaan di seluruh negara bagi memastikan tiada kegiatan menyalahi undang-undang.

"Kami akan fokus kepada isu beras seludup kerana ia menjejaskan pendapatan negara serta petani tempatan.

"Penguatkuasa kami akan menggiatkan usaha memeriksa premis yang didapati menjual beras tidak sah atau tanpa kebenaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 5:28 PM