BERAS yang dirampas KPB Negeri Sembilan semalam. FOTO ihsan KPB
BERAS yang dirampas KPB Negeri Sembilan semalam. FOTO ihsan KPB
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ramadan baru memasuki minggu pertama hari ini, namun kumpulan tertentu dikesan sudah mengeluarkan beras 'stok hari raya' tanpa permit pemindahan yang sah.

Ia dipercayai untuk dijual di kedai runcit warga asing serta memenuhi permintaan restoran nasi Arab dan bazar Ramadan di seluruh negara.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Azman Mahmood berkata, pihaknya mengesan peningkatan aktiviti pengedaran beras Super Special Tempatan 5 peratus serta Super Import sejak sebelum Ramadan lalu.

Katanya, dalam serbuan terbaru semalam, Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri Sembilan menahan sebuah lori yang membawa muatan 118 kampit beras dari jenis berkenaan di Bahau.

"Pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa beras lima dan 10 kilogram dari jenis Super Special Tempatan lima peratus serta Berasmathi, Ponni dan Beras Putih dianggarkan bernilai RM4,000.

"Semakan juga mendapati pemandu lori tidak mempunyai permit pemindahan. Beras berkenaan disita dan di bawa ke pejabat cawangan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, permintaan yang tinggi untuk beras jenis terbabit menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menghantar tempahan berkenaan.

Katanya, ia akan digunakan terutama bagi menyediakan juadah ketika berbuka serta sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Senario ini berlaku di seluruh negara dan hasil maklumat anggota KPB di lapangan, kita akan terus memantau secara dekat bagi memastikan mereka yang terbabit mengikut peraturan ditetapkan," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Pelesenan Pemborong dan Peruncit 1996 (Akta 522).

Harian Metro sebelum ini melaporkan peruncit warga asing di sekitar Lembah Klang yang menjual beras tanpa lesen runcit sejak 10 tahun lalu bertindak menukar pemilik premis setiap dua tahun untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Mengulas mengenainya, Azman berkata, Op Patuh 2.0 yang diaktifkan itu akan diteruskan bagi memastikan tiada pihak mengaut untung mudah, namun pada masa sama melanggar peraturan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 3:26 PM