Beras import dari India yang diletakkan di dalam sebuah rumah kedai di Pandan Mewah.
Beras import dari India yang diletakkan di dalam sebuah rumah kedai di Pandan Mewah.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sindiket beras seludup atau tidak sah dari India dikesan menjadikan lot rumah kedai sebagai stor untuk memasarkannya di sekitar Kembah Klang.

Walaupun beberapa siri operasi Bahagian Penguat Kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), ia seperti tidak diendahkan malah komoditi import itu dijual secara terbuka di pasaran.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Azman Mahmood berkata, dalam serbuan terbaru, pihaknya merampas 227 kampit beras import bernilai RM34,000 yang disimpan di sebuah rumah kedai di Pandan Mewah di sini, pada Selasa lalu.

Menurutnya, ia adalah susulan Op India Gate yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu selepas mendapati sindiket berkenaan bergerak aktif di seluruh negara.

"Selepas kawasan utara dan Sarawak, kita teruskan operasi ini di sekitar Lembah Klang.

"Sindiket ini masuk melalui pintu masuk utama negara membawa pelbagai jenis beras untuk memenuhi permintaan.

"Hasil siasatan mendapati, perkara ini berlaku kerana mereka mendakwa kononnya beras ini lebih baik kualitinya daripada yang diimport.

"Ia juga satu taktik melariskan jualan sedangkan beras yang diimport oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebenarnya lebih berkualiti," katanya kepada Harian Metro.

Minggu lalu, pihaknya mendedahkan taktik segelintir peniaga dikesan menukar pembungkusan beras seludup atau beras tidak sah kepada peket yang lebih kecil untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beras yang sudah dipeketkan semula diletakkan di dalam kotak beras satu kilogram manakala ada juga yang masih disimpan di dalam kontena di gudang.

Azman berkata, tindakan sindiket seperti ini secara tidak langsung menjejaskan industri padi dan beras negara termasuk pengeluaran tempatan.

"Mereka jual pada harga RM5 sekilogram pada peringkat runcit.

"Saya nak maklumkan, kita mengikuti pergerakan mereka ini (sindiket) secara dekat dan jangan ingat mereka boleh terlepas begitu saja.

"Mereka melakukan kesalahan mengikut Perkara 8(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996, kita akan bertindak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 2:34 PM