BERAS seludup dari Bangladesh yang dirampas penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras. FOTO Ihsan Mafi
BERAS seludup dari Bangladesh yang dirampas penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras. FOTO Ihsan Mafi
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Selepas India, sindiket penyeludupan beras dikesan membawa masuk beberapa jenama beras dari Bangladesh, khusus untuk warganegara berkenaan yang berada di Malaysia.

Kegiatan itu terbongkar hasil pemeriksaan bahagian penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras di Kuala Terengganu, semalam.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Syed Hussein dan mendapati beras berkenaan dijual secara terbuka.

Katanya, semakan mendapati, komoditi itu tidak mempunyai rekod sah dan dibawa masuk sejak lebih setahun lalu khusus bagi memenuhi permintaan warga Bangladesh di Malaysia.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati beras berkenaan dipamerkan untuk jualan di premis itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen beras runcit.

"Sama juga seperti beras India yang diseludup baru-baru ini, kita ragui statusnya sama ada selamat untuk digunakan atau tidak kerana tiada butiran lengkap mengenainya," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya merampas 100 kampit beras bernilai RM1,100 berserta resit belian untuk tindakan lanjut.

Katanya, beras itu dijual di pasaran tempatan dengan harga RM11 setiap kilogram dan mendapat permintaan daripada pelanggan.

"Kita siasat kes ini mengikut Perkara 3 Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 ," katanya.

Harian Metro 26 Ogos lalu melaporkan satu sindiket membawa masuk beras Super Import secara seludup dari India yang diragui statusnya.

Ini kerana, ia tidak mempunyai dokumen jual beli selain digunakan untuk upacara keagamaan di kuil sekitar Lembah Klang.

Beras berkenaan juga diragui status halal kerana tidak mempunyai sebarang perakuan halal seperti produk import yang lain.

Susulan itu, isu berkenaan dibawa ke Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman kerana ia akan menjejaskan pengeluaran padi negara secara tidak langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 4:11 PM