Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood menunjukkan beras yang dirampas dalam Operasi Smuggle di Georgetown, Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood menunjukkan beras yang dirampas dalam Operasi Smuggle di Georgetown, Pulau Pinang.
Yusmizal Dolah Aling


MEREKA berstatus pemastautin tetap di negara ini, namun dua individu berasal dari India dikesan menjadi dalang membawa masuk beras secara tidak sah ke pasaran tempatan.

Perkara itu terbongkar selepas Operasi Smuggle yang masuk hari ketiga semalam mengesan pemilik premis yang menjual beras super import dari India.

Dalam serbuan di Georgetown Pulau Pinang semalam, penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) merampas lebih tiga tan metrik beras yang dibawa masuk secara mencurigakan.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati, pemilik berkenaan tidak mempunyai lesen pemborong seperti ditetapkan dan menyalahi Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 552).

Katanya, pemeriksaan turut mendapati, 146 guni beras berkenaan tidak mempunyai pengesahan import daripada Bernas dan ia sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

"Sejak siri Op Smuggle ini, kita dapati banyak pelanggaran dilakukan pemborong untuk mengaut keuntungan mudah.

"Ia salah dari segi peraturan kerana mereka juga dikesan membawa masuk beras bersama peralatan sembahyang untuk mengelak ditahan.

"Beras ini pula diedarkan di premis makanan serta rumah ibadat. Ini adalah satu kesalahan," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, dalam serbuan serentak di Kinabatangan Sabah, pihaknya turut merampas 1.5 tan metrik beras yang juga dibawa masuk secara mencurigakan.

Katanya, ia adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Padi Dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

"Kebelakangan ini kita terima aduan mengenai kegiatan seperti ini. Saya nak ingatkan kepada pemborong supaya gunakan lesen dengan sebaiknya bagi mengelak tindakan tegas daripada kementerian.

"Kita akan terus menggempur mereka ini yang jelas melakukan kesalahan, tidak ada kompromi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 2:14 PM