Ahmad Zaharin melancarkan Buku Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon. FOTO Roslin Mat Tahir
Ahmad Zaharin melancarkan Buku Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon. FOTO Roslin Mat Tahir
Nur Izzati Izzah Nadzi


TREK berbasikal sejauh 15 kilometer (km) yang dibina menerusi peruntukan RM2.4 juta di Seksyen 14, Shah Alam di sini, dijangka siap sepenuhnya pertengahan 2018.

Ia antara insentif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menambah kapasiti pengurangan karbon dioksida dan mengurangkan penggunaan kenderaan seperti kereta dan motosikal di kawasan pusat bandar.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, trek itu merupakan kesinambungan trek sedia ada bagi menggalakkan lebih ramai penduduk setempat untuk berbasikal.

“Kita mahu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di bandar raya ini supaya ia dapat dimanfaatkan seperti yang diamalkan negara luar.

“Selain itu, ia sekali gus dapat mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya pada sesi taklimat Bandar Raya Rendah Karbon Shah Alam 2017 di sini, tadi.

Seramai 500 peserta membabitkan wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara, perunding, pemaju dan kakitangan MBSA bersetuju melaksanakan inisiatif hijau ke arah pembangunan mampan.

Pada sesi itu, Buku Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2030 turut dilancarkan dan 14 pegawai MBSA dilantik sebagai Duta Hijau yang berperanan sebagai penggerak pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Menurut Ahmad Zaharin, MBSA akan melaksanakan sewaan basikal dalam pusat bandar bagi memudahkan pergerakan orang awam ke tempat yang dituju.

“Kita masih mengkaji keberkesanan sewaan itu dan menjadikan China sebagai contoh penggunaan perkhidmatan berkenaan.

“Penggunaan sewaan basikal ini akan diperluaskan kepada pelajar dan orang awam,” katanya.

Insentif itu bagi mensasarkan pengurangan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 4:47 PM