ISMAIL Ibrahim. FOTO arkib NSTP
ISMAIL Ibrahim. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad.
am@hmetro.com.my


Johor Bahru : Iskandar Malaysia melakar satu lagi sejarah di peringkat antarabangsa apabila merekodkan pengurangan karbon sebanyak 19.7 peratus berdasarkan laporan Inventori Gas Rumah Hijau (GHG) 2019.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, pembangunan holistik wilayah itu akan terus menekankan pembangunan sama rata dalam agenda ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Katanya, pencapaian itu adalah sebahagian pelaksanaan 281 program yang dirancang dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 (LCSBPIM 2025), yang dilancarkan November 2012.

"Kita berbangga melihat hasil usaha dalam melindungi dan memelihara alam sekitar yang berterusan itu telah menampakkan hasil yang positif dan saling melengkapi dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

"Setakat ini, lebih 60 program telah dilaksanakan dan 214 program lagi sedang berjalan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Prestasi GHG Iskandar Malaysia dipantau sejak 2015 berdasarkan Standard Protokol Global Inventori Pelepasan Gas Rumah Hijau bagi skala komuniti.

Menurut Ismail, pengiraan di antara 2015 hingga 2017 dibuat berdasarkan laporan peringkat ASAS GPC, merangkumi tiga sektor iaitu tenaga pegun, pengangkutan dan sisa sektor.

Manakala, antara 2018 dan 2019, pengiraan dibuat berdasarkan laporan BASIC+, tambahan dua lagi sektor termasuk Proses Industri dan Penggunaan Produk (IPPU), Pertanian, Perhutanan dan Penggunaan Tanah (AFOLU).

"Inventori tersebut hasil kerjasama antara IRDA dan lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

"Program seperti Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC), Green Accord Initiative Award (GAIA), Green Community Carbon Reduction Programme (GCCR) dan pemilikan rangka kerja rendah karbon setempat oleh lima PBT itu mencerminkan kepentingan kerjasama dan penyelarasan antara pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan, swasta dan komuniti dalam menangani isu dan cabaran alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 12:40 PM